Bekas pemain JDT yang kini bersama Lang Merah, Mohd Azamuddin Akil, berharap Kedah dapat membuat kejutan pada final Piala Malaysia malam esok memandangkan bekas pasukannya itu memiliki barisan pemain hebat dan kuat.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Alex mengakui, umum mengetahui JDT merupakan pasukan yang kuat, namun dia dan rakan sepasukannya tetap akan bermain penuh semangat seperti sewaktu menentang Pahang pada separuh akhir Sabtu lalu.

“Saya tak kisah jurulatih bagi first eleven atau supersub. Saya main macam biasa. Tidak ada tekanan. Saya rasa sesiapa pun yang bermain akan berikan 100 peratus untuk pasukan.

“Sama juga dengan saya. Kalau jurulatih bagi pilihan pada saya, saya tiada tekanan untuk bermain di final nanti,” ujar Mohd Azamuddin.

Turut berkongsi pandangan, penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kasim yang bertekad tidak mahu gawang Kedah dibolosi dengan mudah oleh JDT.



Menurut Ifwat, barisan pertahanan perlu memberi tumpuan terutama kepada rembatan daripada luar kotak serta hantaran berbahaya tiga penyerang - Mohd Safawi Rashid, Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo.

“Kami perlu perbaiki dari segi pertahanan sebab Johor punya serangan agak bagus. Maka, kami kena perbaiki dari segi bertahan dan juga serangan.

"Seperti baru-baru ini, kami bolos banyak dari segi rembatan, maka kami kena bersedia selepas ini dari segi rembatan dari luar kotak dengan hantaran lintang,” kata Mohd Ifwat.

Kedah tetap akan ‘pulun’ habis-habisan dalam pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini meskipun tampil tanpa dua tonggak pertahanan, Renan Alves dan Rizal Ghazali.

Bagaimanapun, skuad Lang Merah tidak begitu terkesan tanpa kelibat kedua-dua tonggak itu kerana Kedah mempunyai pemain yang mampu mengisi kekosongan tersebut.

Alves dan Rizal tidak dapat diturunkan akibat menjalani hukuman penggantungan perlawanan selepas mereka mengutip dua kad kuning pada aksi suku akhir dan separuh akhir.