PENINJU Amerika Syarikat, Floyd Mayweather nafi sedang berbincang untuk bertarung dalam promosi seni beladiri campuran (MMA) terbesar dunia, UFC.

Ini susulan dakwaan Presiden UFC Dana White pada Rabu yang memberitahu bahawa promosi itu telah mengadakan perbincangan dengan Mayweather dan ada kemungkinan peninju terkenal itu akan bertarung di gelanggang MMA.

Desas desus penyertaan Mayweather ke UFC itu tersebar selepas beliau memuat naik sebuah video di media sosial yang mengatakan peluang kini terbuka untuk beliau bertarung beberapa perlawanan di 'octagon' sambil mengutip satu bilion dolar.

Mayweather memaklumkan meskipun peluang itu ada, namun beliau tidak berniat mengambilnya.

"Jika saya boleh buat lebih daripada satu bilion dolar sebelum ini, saya boleh melakukannya sekali lagi," kata bekas juara dunia berusia 40 tahun itu kepada FightHype.

BACA: Conor McGregor umum akan kembali ke gelanggang MMA

"Jika saya memilih untuk sertai UFC dan bertarung dalam tiga atau empat pertarungan dan kemudian melawan Conor McGregor, saya boleh mengutip satu bilion dolar.

"Saya boleh. Saya boleh melakukannya dalam tiga pertarungan atau empat pertarungan - saya boleh membuat satu bilion dolar. Jika saya memilih untuk masuk ke dalam octagon dan bertarung."

Bagaimanapun, Mayweather berkata beliau juga tidak mungkin akan kembali bertarung di gelanggang tinju.