TANDA tanya mengenai kegagalan Nazirul Naim Che Hashim melaporkan diri bersama skuad kebangsaan, semalam, akhirnya terjawab apabila dia tampil menjelaskan keadaan sebenar di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Dipetik dalam laporan Berita Harian, pertahanan kiri Perak itu berkata, kehadirannya ke FAM hari ini adalah untuk memberi penjelasan mengenai kecederaan kuadrisep yang dialaminya dan membuat ujian pemeriksaan bagi mengesahkan kecederaan itu.

Nazirul, 23, turut melahirkan rasa kecewa apabila jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak memaklumkan terlebih dulu mengenai kegagalannya itu sedangkan pihaknya sudah menghantar surat pemberitahuan, semalam.

"Saya agak kecewa dengan panggilan kali ini sebab keadaan saya masih tidak 100 peratus cergas susulan kecederaan di bahagian paha," kata Nazirul, yang ditemani pengendali Perak, Karl Heinz Weigang.

"Keputusan untuk tidak melaporkan diri dalam sesi latihan semalam kerana mengikut arahan majikan saya (Persatuan Bola Sepak Perak). Saya tidak boleh ketepikan majikan saya," katanya dalam laporan itu.

Nazirul semalam mencetuskan kontroversi kerana gagal melaporkan diri dalam sesi latihan pertama skuad kebangsaan, dengan Kim Swee mendakwa pemain berusia 23 tahun itu tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai statusnya.

Kesemua 24 pemain melaporkan diri semalam kecuali Nazirul.

Bagaimanapun, mengikut peraturan, mana-mana pemain yang cedera perlu hadir untuk menghantar surat pengesahan doktor ataupun menjalani ujian kesihatan bersama skuad kebangsaan terlebih dulu sebelum mendapat pelepasan.

Skuad Harimau Malaysia memulakan latihan pertama semalam bagi persiapan menghadapi Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.