KALAU anda seorang pelari yang tegar dan serius, anda pasti tahu mengenai kasut Asics GEL-Kayano.

Pertama kali diperkenal pada tahun 1993 dan dinamakan sempena perekanya, GEL-Kayano mempunyai lapisan GEL pada sebahagian daripada tapak di bahagian tengah tapak kasut itu, untuk memberi keselesan kepada pemakai, terutama sekali kepada perlari jarak jauh.

GEL yang direka khas oleh Asics telah memainkan peranan penting sepanjang penghasilan GEL-Kayano sejak 25 tahun yang lalu dan menjadi ciri-ciri pilihan utama pelari-pelari tegar di seluruh dunia.

Edisi ulang tahun ke-25 GEL-Kayano menyaksikan pelbagai perubahan pada teknologi tapak kasut tersebut namun apa yang paling ketara bagi saya adalah rupa bentuk kasut itu yang lebih menarik berbanding edisi terdahulu.

Asics GEL-Kayano 25

Asics terkenal dengan menghasilkan kasut yang memberi penekanan kepada fungsi kasut lebih daripada nilai estetik, kali ini berjaya memberi keseimbangan tersebut pada GEL-Kayano 25.

Ia direka khas untuk memberi sokongan yang baik kepada pelari overpronator ataupun pelari yang kerap memindahkan berat dari tumit ke bahagian depan kaki semasa berlari secara semula jadi semasa larian.

Asics GEL-Kayano 25 untuk wanita

Bahagian tapak tengah ataupun midsole adalah lebih ringan daripada edisi sebelum ini, yang dikenali sebagai FLYTEFOAM LYTE dan juga FLYTEFOAM PROPEL, yang menukar impak hentakan semasa larian kepada lantunan yang memberi tenaga kepada pemakai.

Asics GEL-Kayano 25

Bagi saya, ciri-ciri baharu ini memberikan keselesaan kepada saya yang sudah menggunakan GEL-Kayano 25 sejauh 25 kilometer, dengan tiada perubahan pada kelembutan tapak dalamnya ataupun footbed semasa berlari sehingga kini.

Bahagian atas kasut GEL-Kayano yang diperbuat daripada kanvas jaringan itu, memberi pengudaraan yang sesuai untuk larian dan lebih penting di bahagian depan jari kaki terasa luas untuk mengelak daripada kecederaan ibu jari kaki.

Bagi saya, GEL-Kayano adalah kasut yang sesuai untuk semua jenis lengkung kaki sama ada ia rata/rendah atau mempunyai lengkungan yang agak tinggi kerana ciri-ciri sokongan teknologi DUOMAX yang terdapat pada bahagian tapak kaki tersebut bersama teknologi FLYTEFOAM terbaharu yang terdapat pada kasut itu.

Saksikan episod khas Fit AWANI x Asics bersama Aishah Sinclair dan Edan Syah, menguji GEL-Kayano 25 dan eksperimen berlari dalam gelap di London.