Berita  | Sukan

#GlazerOut: Kempen halau pemilik Manchester United diperhebatkan

#GlazerOut: Kempen halau pemilik Manchester United diperhebatkan
Kempen Glazer Out diperhebatkan penyokong Manchester United bermula Rabu. - Foto Twitter/@Onyinye_G
PENYOKONG-PENYOKONG Manchester United, memperhebatkan kempen di media sosial mendesak pemilik kelab itu untuk melepaskan penguasaan mereka daripada kelab itu.

Warga Amerika Syarikat, Malcolm Glazer memiliki 75 peratus daripada kepentingan kelab itu yang didagangkan di Bursa Saham New York.

Hujah kempen itu, hutang dan perbelajaan kelab semakin meningkat, namun pretasi pasukan terus menurun.

Kempen #GlazerOut itu menggunakan warna emas dan hijau dan turut disokong bekas pemain kelab itu, termasuk David Beckham yang dilihat memakai skarf tanda protes itu pada 2010.
Pada ketika itu, Beckham beraksi untuk AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara, di mana pasukan Itali itu tumpas 4-0 kepada United di Old Trafford.

Kebanyakan penyokong sudah bosan dengan keluarga Glazer yang dilihat hanya mengaut keuntungan disebalik kejatuhan kelab tersebut, termasuk hutang yang dianggap bakal membebankan kelab itu.

Mereka menganggap keluarga Glazer tidak tahu cara mengendali sebuah kelab bola sepak.

Kejayaan United sejak keluarga Glazer mengambil alih kelab itu pada 2005 hanya kerana the Red Devils mempunyai seorang pengurus yang bijak, iaitu Sir Alex Ferguson.


Bagaimanapun ada penyokong yang mempertikaikan keberkesanan kempen ini dan juga kenapa mereka berdiam diri ketika United meraih kejayaan di bawah Glazer.


#GlazerOut masih trending di media sosial di seluruh dunia, di mana penyokong menuding jari ke arah Ketua Eksekutif kelab itu, Ed Woodward dan keluarga Glazer sebagai punca sebenar prestasi kelab mengalami kemerosotan.


United di bawah Ole Gunnar Solskjaer menamatkan musim 2018/19 di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tidak layak untuk beraksi dalam kejohanan kelab berprestij di Eropah, Liga Juara-Juara musim depan.

Bintang kelab itu, Paul Pogba dan Romelu Lukaku antara nama yang diramal akan meninggalkan kelab itu musim baru nanti.