Berita  |  Sukan

Golf EurAsia Cup 2018: Pasukan Asia mendahului pada hari pertama

Golf EurAsia Cup 2018: Pasukan Asia mendahului pada hari pertama
Pemain negara, Gavin Green beraksi cemerlang untuk membantu pasukan Asia mendahului hari pertama kejohanan EurAsia 2018.
SHAH ALAM: Pasukan Asia mendahului pasukan Eropah 3.5-2.5 pada hari pertama kejohanan golf EurAsia Cup di Kelab Golf dan Country Glenmarie, Shah Alam dalam perlawanan fourballs hari ini.

Ini merupakan kali pertama pasukan Asia mendahului pasukan Eropah sejak pertama kali dianjurkan pada 2014.

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai menyaksikan gandingan Yuga Ikeda dan pemain nombor satu Asia negara, Gavin Green mengatasi Thomas Pieters dan Matthew Fitzpatrick dengan keputusan 2&1.

Selain itu, kejutan berlaku apabila gandingan Asia, Sunghoon Kang dan Poom Saksansin mengatasi Henrik Stenson dan Alexa Levy dengan keputusan 5&4.
Seorang lagi pemain negara, Nicholas Fung yang berganding dengan Haotong Li dari China pula mengutip separuh mata menentang Bernd Wiesberger dan Rafa Cabrera Bello.

Perlawanan lain menyaksikan Tony Fleetwood & Paul Casey (Eropah) menang 4&3 ke atas Byeong Hun An & Kiradech Aphibarnrat, Alex Noren & Paul Dunne (Eropah) 2 up ke atas Hideo Tanihara & Phachara Khongwatmai dan Ross Fisher & Tyrrell Hatton menang 5&4 ke atas Anirban Lahiri & SSP Chawrasia.

Chawrasia antara pemain yang tidak menyerlah untuk pasukan Asia hari ni apabila bergelut dengan pukulan-pukulannya.

Dia berjanji untuk membaiki prestasi pada hari kedua esok dalam persaingan foursome dengan membuat latihan pukulan di lapang sasar petang ini.

Nicholas Fung pula membuat beberapa birdie dan gembira apabila putt terakhirnya dapat mengikat keputusan menentang Wiesberger dan Cabrera Bello.

Kejohanan diteruskan esok dengan persaingan foursome.

EurAsia Cup merupakan kejohanan golf yang menyaksikan pertarungan antara pasukan Eropah dan Asia.

Memasuki edisi ketiga selepas kali pertama diadakan pada 2014, ia merupakan versi kejohanan yang menyerupai Piala Ryder antara Amerika dan Eropah.

24 mata menjadi rebutan dan pasukan pertama yang berjaya mengumpul 12.5 mata terus bergelar juara keseluruhan. 

Eropah turun selaku juara bertahan selepas memenangi edisi 2016 sementara edisi pertama pada 2014 menyaksikan kejuaraan dikongsi Eropah dan Asia selepas keputusan berakhir dengan seri.