Tutup

Berita  | Sukan

Gusti lengan: Safuan kekalkan gelaran kebangsaan

Gusti lengan: Safuan kekalkan gelaran kebangsaan
Muhammad Safuan (kanan) terpaksa bergelut sehingga tiga pusingan apabila terikat satu sama menentang Cristal Adam Jabry sebelum mengesahkan kejuaraan tangan kiri. --fotoBERNAMA
CYBERJAYA: Seperti dijangka, Muhammad Safuan Mohd Asif berjaya mempertahankan kejuaraan kategori 63kg pada Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2019 di sini, pada Sabtu.

Atlet berusia 22 tahun mewakili Putrajaya itu, bagaimanapun terpaksa bergelut sehingga tiga pusingan apabila terikat satu sama menentang pencabar dari Sarawak, Cristal Adam Jabry sebelum mengesahkan kejuaraan tangan kiri, manakala bagi tangan kanan, beliau menewaskan wakil Sabah, Victor Larry dalam aksi akhir.

"Tadi saya agak leka menentang Cristal, permainan sangat laju, jadi sedikit kelekaan pun boleh mengundang parah. Ini merupakan kali pertama saya bertemunya, saya rasa juga gementar sedikit, namun alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya.

"Selepas ini saya akan membuat persiapan rapi untuk mencatatkan keputusan yang baik pada Terbuka China, Oktober ini dan Kejohanan Dunia di Rumia, Poland, Disember ini," katanya kepada pemberita di sini.
Sebagai rekod, beliau meraih kedudukan kelapan bagi kategori remaja 60 kilogram dalam Kejohanan Dunia di Antalya, Turki pada tahun lalu.

Sementara itu, juara Asia 2015, Joffey Jolly dari Sabah turut mempertahankan kejuaraan selepas mudah menewaskan Abdul Razak Hadzir dari Putrajaya dalam kategori senior 78 kg tangan kiri.

Beliau kemudian mempertahankan gelaran juara keseluruhan tangan kanan selepas menundukkan rakan senegerinya, Michael Fort.
Joffey berhasrat untuk menurunkan berat badannya untuk menyertai kategori bawah 65kg dalam Kejohanan Dunia kerana peluangnya lebih cerah dalam kategori itu.

Tiada perubahan bagi gelaran juara keseluruhan tangan kiri apabila Chia Jun Kit, yang lebih dikenali sebagai Jake Chia dari Putrajaya mempertahankan gelarannya dengan mengalahkan rakan sepasukannya, Nizar Yusof.

Kejohanan edisi kedua anjuran Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms) itu, disertai oleh lebih 150 peserta dari 14 negeri meliputi 17 kategori berat badan, termasuk untuk wanita bagi merebut tempat ke Kejohanan Dunia.

-- BERNAMA