RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David merangkul emas Sukan Asia ketujuhnya juga yang kedua untuk negara dalam temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang selepas menewaskan junior senegara, Sivasangari Subramaniam.

Nicol menang 3-2 dalam aksi final perseorangan wanita yang berlangsung Stadium Skuasy Gelora Bung Karno, Jakarta.

Ia merupakan hadiah ulang tahun kelahirannya ke-35 yang terindah bagi Nicol, namun ia tidak diperoleh dengan mudah apabila diberi tentangan sengit daripada pelapisnya berusia 19 tahun itu.

Sivasangari pada mulanya ketinggalan 5-8 sebelum mengikat Nicol 10-10 seterusnya mengungguli set pertama 13-11.

Saingan sengit diteruskan di set kedua tetapi Nicol bangkit untuk menang 11-9, dan Sivasangari tidak mudah tunduk kepada idolanya itu untuk menang set ketiga 11-5.

Pengalaman memisahkan persembahan kedua-dua atlet negara itu, Nicol tenang mengutip mata demi mata untuk menyamakan kembali kedudukan, memenangi set keempat 11-6 dan meneruskan rentak untuk mengesahkan keunggulannya selaku pemain kesembilan dunia dengan memenangi set penentuan 11-8.

Biarpun tewas, Sivasangari cukup membanggakan dengan pingat perak pada penampilan pertamanya di temasya Sukan Asia.