Sebagai pelumba kereta yang baharu, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui bahawa adalah sukar untuk beralih daripada menunggang sebuah motosikal kepada memandu sebuah kereta, namun beliau berjanji untuk kekal tenang dan memastikan segalanya terkawal ketika mengharungi perlumbaan 'Races of Malaysia'.

Pelumba MotoGP negara itu telah melengkapkan pusingan pertama dalam jentera lumba Hyundai i30 N TCR yang akan digunakan untuk membuat kemunculannya di FIA World Touring Car Championship (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu ini.

Hafizh beraksi semasa ujian wildcard di bawah lampu limpah yang baharu dipasang di SIC pada petang Isnin dan sekali lagi pada pagi Selasa dan dia telah bersedia untuk bersaing dalam kedua-dua perlumbaan yang membentuk 'Races of Malaysia' iaitu WTCR Race of Malaysia dan Sepang 8 Hours untuk FIM Endurance World Championship (EWC) motosikal.

"Masih terdapat beberapa tempat yang boleh saya perbaiki dan saya akan memeriksa dengan ketua kru untuk melihat bahagian mana yang kita kalah di trek tetapi ia adalah menakjubkan, pengalaman yang mengujakan untuk saya dan kami juga diuji pada waktu malam.

"Kami ada satu perlumbaan pada waktu malam, 'Race 3', ia adalah satu peluang yang baik dapat melakukan ujian di sini.

"Pada masa yang sama, kami mempunyai lebih 20 kilometer bagi kereta (mengikut peraturan wildcard), jadi ia tidak mudah, tetapi saya akan cuba memperbaiki langkah demi langkah.

"Saya tidak sabar untuk membuat kemunculan terbaik pada hujung minggu apabila beralih dari perlumbaan motosikal kepada perlumbaan kereta pula.

"Ia agak sukar tetapi saya akan cuba membina keyakinan saya, terus bertenang dan memastikan semuanya terkawal," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh WTCR, pada Rabu.

Rakan sepasukannya dalam Hyundai Team Engstler, Mitchell Cheah turut diuji dengan wildcard ketiga daripada tiga wildcard Malaysia, Douglas Khoo dan pelumba Brazil, Joao Paulo de Oliveira, yang melengkapkan senarai pelumba yang mengambil bahagian dalam perlumbaan super finale WTCR Race of Malaysia.

-- BERNAMA