MAREK Hamsik mencatat gol peribadi ke-100 dalam saingan Serie A tetapi usaha Napoli untuk menjulang kejuaraan Scudetto semakin pudar selepas terikat seri 2-2 ketika bertemu Torino, semalam.

Pendahulu liga, Juventus, menjarakkan diri di puncak liga dengan kelebihan tujuh mata berbanding skuad bimbingan Maurizio Sarri selepas bangkit untuk menundukkan Bologna 3-1 di laman sendiri pada awal pagi semalam.

Napoli perlu mengelak kekalahan untuk terus mengejar harapan kejuaraan liga, sambil jaringan Hamsik selepas dua minit dimasukkan dalam babak kedua bersambung memberikan pendahuluan 2-1 buat pasukannya.

Bagaimanapun, Lorenzo De Silvestri menyamakan kedudukan buat Torino ketika aksi berbaki tujuh minit, sekaligus mencerahkan peluang buat Juve untuk menjulang trofi liga buat kali ketujuh berturut-turut pada musim ini.

Situasi itu membuatkan Hamsik tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya, namun tampil mempertahankan Sarri selaku pengurus pasukan.

“Kami tidak patut menerima keputusan dalam beberapa aksi terakhir kerana telah melalui kempen yang hebat,” kata Hamsik.

“Corak permainan kami kekal memberikan tekanan dan ketika ini, kami cuba memperlahankannya sehingga membuatkan mudah dijangka. Kami tidak boleh mengubah tempo permainan kerana ia membuatkan lawan lebih mudah membaca pergerakan kami.

“Saya berharap agar Sarri kekal di sini kerana dia telah membantu pasukan meningkatkan kualiti permainan dan semua pemain di Napoli.

“Kini, objektif kami adalah cuba mencatatkan rekod baru buat pasukan daripada segi catatan mata dalam saingan Serie A.”

Hamsik mencatat 100 gol liga menerusi 394 penampilan buat Partenopei yang mengejar kejuaraan liga pertama sejak 1989/90.

Pemain skuad kebangsaan Slovakia itu telah pun muncul selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Napoli selepas melepasi catatan yang dilakukan Diego Maradona.