BEKAS juara dunia lima kategori berat, Floyd Mayweather hanya memerlukan 140 saat untuk menumbangkan ‘kickboxer’ Jepun, Tenshin Nasukawa dalam satu perlawanan pertunjukan di Tokyo, Jepun.

Dalam tempoh itu, tiga kali Mayweather menumbangkan Nasukawa sebelum ia berakhir dengan tangisan peninju Jepun berusia 20 tahun itu selepas pasukannya melemparkan tuala putih ke dalam gelanggang.

Memetik laporan BBC Sports, perlawanan yang dilaporkan bernilai AS$9 juta itu sepatutnya berlangsung dalam tiga minit setiap tiga pusingan tetapi tamat lebih awal dan Mayweather sekadar meraikannya dengan senyuman.

“Semuanya tentang hiburan - kami banyak berseronok.

“Mereka mahu ini berlaku di Jepun, jadi saya kata ‘kenapa tidak?’,” kata peninju Amerika itu.

Perlawanan itu telah tertunda beberapa jam apabila khabar angin yang tersebar di media sosial mengatakan Mayweather mungkin tidak akan muncul dan penganjur berdepan kesukaran untuk mencarinya.

Kemudian dalam satu ‘intermission yang tidak dirancang’, Mayweather mempromosi kelab tarian bogel miliknya di Las Vegas dan menggesa khalayak untuk ke sana.

Pertembungan itu mendapat kritikan hebat banyak pihak, dengan Mayweather berkelebihan berat 4 kilogram dan peraturan ketat ditetapkan di mana Nasukawa berdepan denda USD5 juta sekiranya dia menyepak lawannya yang lebih tua itu.

Tiada pengadil, cuma knock-out atau technical knock-out sahaja yang menentukan pemenangnya.

Selepas tamat perlawanan, Mayweather menegaskan bahawa dia dan Nasukawa masih tidak pernah kalah atau undefeated.

“Tenshin adalah juara sebenar dan seorang petarung yang hebat.

“Berbanggalah,” katanya kepada Nasukawa. “Saya mahu semua peminat seluruh dunia menyokong Tenshin, dia lelaki yang hebat dan juara yang unggul.”

Mayweather, 41, kembali dari persaraan tahun lepas untuk mengalahkan petarung UFC dari Ireland, Conor McGregor dalam perlawanan tinju pada Ogos.

Begitupun, Mayweather menegaskan bahawa dia ‘masih dalam persaraan.’