Berita  |  Sukan

Hari Sukan Negara 2016 lebih meriah disambut di seluruh negara

Hari Sukan Negara 2016 lebih meriah disambut di seluruh negara
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ribuan rakyat Malaysia turut menyertai acara bersenam ketika merasmikan HSN 2016 di Presint 2. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2016 hari ini diraikan serentak di seluruh negara termasuk di kawasan kampung dan daerah, melibatkan sejumlah 22,500 aktiviti.

Sekretariat HSN 2016 menyasarkan seramai tujuh juta orang iaitu 20 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia akan menyertai program-program yang telah diatur di seluruh negara berbanding 4.2 juta orang tahun lepas, iaitu tahun pertama sambutan HSN diadakan.

Bermula tahun lepas, setiap Sabtu kedua bulan Oktober telah dijadikan sebagai Hari Sukan Negara dengan matlamat untuk mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Untuk tahun ini, sambutan utama yang berlangsung di Putrajaya sahaja membabitkan penyertaan kira-kira 30,000 orang yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama ribuan rakyat Malaysia turut menyertai acara bersenam ketika merasmikan HSN 2016 di Presint 2.

Najib dalam ucapannya menyarankan agar rakyat Malaysia menjadikan sukan satu budaya ke arah gaya hidup sihat dan wadah penyatuan untuk meningkatkan semangat patriotisme kepada negara.

Najib kemudiannya mengayuh basikal ke Dataran Putrajaya berhadapan Istana Kehakiman untuk menyertai program kecergasan Kementerian Pendidikan dan berjalan kaki untuk program Jalan Ria 1Murid 1Sukan sejauh 4.5km.


Turut berlangsung di Putrajaya, Kementerian Luar mengadakan aktiviti seperti acara senam robik, berbasikal dan berjalan kaki di perkarangan kawasan Wisma Putra yang disertai 500 warga kementerian itu serta diplomat asing dari 26 negara.

Antara yang hadir ialah Duta Emiriah Arab Bersatu ke Malaysia Abdulla Matar Al Mazrouei, Samkelisiwe Mhlanga (Afrika Selatan), Saad Abdullah Saleh Al-Asousi (Kuwait) dan Anne Namakau Mutelo (Namibia).

Warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bergabung melakukan senam robik mega di Presint 4.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi dan jabatan yang beroperasi di Kompleks C Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pula mengadakan program 'Family Fun Walk' di persekitaran kompleks berkenaan manakala Kementerian Kesihatan pula menganjurkan program 'sihat cergas' di kawasan Kompleks E.
Seramai 1,500 warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi di bawahnya pula bersukan di Taman Tasik Cyberjaya yang diketuai menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin melibatkan aktiviti berjalan kaki mengelilingi tasik berkenaan sejauh tiga kilometer.

Atlet Paralimpik Negara Mohd Riduan Mohd Puzi menceriakan hadirin di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perasmian Hari Sukan Negara 2016 di perkarangan Bangunan Perbendaharaan hari ini. - Foto Bernama
Sementara itu di SELANGOR, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama-sama 3,000 kakitangan kementerian itu menyertai program 'Kelulut Walk' sejauh 3.7km sempena HSN peringkat kementerian di Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam.

Di samping itu, beberapa agensi lain termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor turut mengadakan aktiviti masing-masing seperti senam robik, senam ria dan perlawanan bola jaring sebagai tanda sokongan terhadap sambutan HSN kali ini.

Di PERLIS, lebih 5,000 peserta berkumpul di dewan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis, Kangar pada sambutan peringkat negeri yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Sambutan itu melibatkan lebih 10 aktiviti sukan dan riadah iaitu bola sepak sembilan sebelah, kayuhan basikal, permainan ekstrem, badminton, cabutan bertuah, tarian megarobikton dan pelbagai pameran dan jualan.

Di KEDAH, lebih 7,000 peserta terdiri daripada kakitangan jabatan kerajaan, pelajar sekolah, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam terlibat dengan aktiviti sukan dan riadah seperti senam robik, larian dan berbasikal di Dataran Kulim bagi sambutan HSN peringkat negeri.

Di LANGKAWI pula, lebih 1,000 orang berkumpul di Kompleks Pekan Rabu Langkawi manakala lebih 20,000 orang turut serta dalam sambutan HSN 2016 di 30 buah kampung di seluruh pulau lagenda itu.

Di PULAU PINANG, perkarangan Kompleks Belia dan Sukan negeri di George Town dipenuhi dengan kira-kira 4,000 peserta yang menyertai sambutan Program Ikonik HSN 2016 dengan acara larian yang membuka tirai sambutan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata program di peringkat negeri Pulau Pinang cukup menakjubkan dengan angka penyertaan melebihi jangkaan Jabatan Belia dan Sukan negeri iaitu seramai 359,716 menyertai acara ini di seluruh negeri berbanding sasaran 336,000.

Peserta warga emas antara 4,000 yang menyertai dalam acara 'Fun Run' sempena sambutan Hari Sukan Negara di Kompleks Belia dan Sukan Negeri hari ini. - Foto Bernama
Di PERAK, kira-kira 7,000 orang menyertai sambutan HSN peringkat negeri yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan pelbagai acara menarik diadakan sepanjang sambutan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Selain di Manjung, sambutan turut diadakan di semua daerah serta 24 kawasan Parlimen di seluruh Perak dengan sasaran penyertaan kira-kira 400,000 orang.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 15,000 orang hadir sambutan HSN peringkat negeri yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Taha, Gemencheh dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan disertai barisan exco kerajaan negeri.

Sambutan peringkat Negeri Sembilan itu juga menyaksikan pemberian tiga anugerah beserta hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan trofi kepada Shaharudin Sidek dan Yau Shu Ching, masing-masing bagi kategori Atlet Lelaki dan Wanita Terbaik Sukan Paralimpiad Sarawak 2016 serta Nurul Syahirah Shahrin Borhan (Atlet Remaja Terbaik).

Di MELAKA, lebih 2,000 orang menyertai HSN peringkat negeri yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di Stadium Mini Jasin melibatkan acara Kejohanan Bola Sepak Perpaduan (Bawah 12 tahun) Piala Datuk Yusoff Mahadi, kayuhan basikal santai, zumba dan sukaneka kanak-kanak.

Sambutan di peringkat negeri JOHOR pula meriah dengan pelbagai acara sukan dan riadah yang dijalankan di semua 10 daerah secara serentak.

Di Muar, misalnya HSN peringkat daerah melibatkan lebih 5,000 warga daerah itudirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, yang juga Anggota Parlimen Muar.

Pelajar cacat penglihatan dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kuala Terengganu Adid Muayyad Zamri, 12, dibantu oleh gurunya untuk melompat sewaktu menyertai acara Forward Squat Jump sempena Hari Sukan Negara di Batu Burok hari ini. - Foto Bernama
Di PAHANG, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Johari Hussain berkata dianggarkan hampir 370,000 peserta menyertai sambutan HSN 2016 di seluruh negeri hari ini.

Di TERENGGANU, kira-kira 200,000 rakyat Terengganu dijangka menyertai pelbagai acara kesukanan yang diadakan bermula pagi hingga malam ini bersempena sambutan HSN, yang sambutan peringkat negeri dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat di Dataran Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Rozi turut menyertai acara senam robik bersama kira-kira 7,000 penduduk Kuala Terengganu dan pelbagai acara untuk semua peringkat umur termasuk golongan kurang upaya seperti OKU Fun Walk, Family Fun Walk dan Fun Run.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam acara sepakraga sambil memakai kain batik sempena sambutan Hari Sukan Negara 2016 peringkat negeri di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Taha, hari ini.
Di KELANTAN, lebih 10,000 peserta menyertai HSN di Institut Pendidikan Guru (IPG) Pengkalan Chepa, Kota Bharu yang dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan Mohd Salleh Ramli.

Jabatan Belia dan Sukan Kelantan menjangkakan lebih 344,000 peserta terdiri daripada murid dan pelajar serta orang dewasa menyertai HSN yang dijalankan secara serentak di seluruh 12 jajahan hari ini.

Di SARAWAK, sambutan peringkat negeri diadakan di Padang Merdeka, Kuching dengan penyertaan lebih 13,000 peserta dirasmikan oleh Menteri Muda Belia Sukan dan Solidariti Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Di SABAH, lebih 5,000 peserta menyertai sambutan HSN peringkat negeri Sabah di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Orang ramai yang hadir tidak melepaskan peluang menggunakan semua kemudahan sukan di kompleks sukan berkenaan secara percuma sempena sambutan HSN bermula dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam hari ini.

Sementara itu, kira-kira 1,200 warga Kementerian Pertahanan mengambil bahagian dalam Program HSN 2016 peringkat kementerian itu di sini, dengan dihadiri Timbalan Menterinya Datuk Seri Mohd Johari Baharum.

Tiga jenis sukan yang disertai warga kementerian termasuk Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensinya adalah senam robik, Fun Run dan Fun Ride. -- BERNAMA