Sambutan Hari Sukan Negara atau perlawanan Piala Malaysia mungkin ditangguh jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan tidak sihat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, keselamatan orang ramai lebih penting daripada menepati jadual sesuatu majlis yang dirancangkan.

"Sekiranya bacaan IPU mencecah tahap yang ditetapkan saya sarankan supaya aktiviti ini dibatalkan atau ditangguhkan sahaja.

"Saya harap FAM dapat mengambil langkah proaktif dalam menangguhkan dan menunda perlawanan yang dijadualkan. Keselamatan pemain dan penonton leboh pentinga dari menepati jadual," katanya semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Asia Pasific Untuk Orang Pekak (APDG 2015) di sini hari ini.

Sukan itu diadakan empat tahun sekali dan kali terakhir dianjurkan di Seoul, Korea pada 2013.

Kejohanan tahun ini akan berlangsung di bandaraya Taoyuan, Taiwan dari 3 sehingga 11 Oktober.


Seramai 60 atlet dan pegawai akan ke Taoyuan selain menurunkan pemain untuk acara badminton, olahraga, bowling dan bola sepak.

Dalam pada itu kata Khairy, keputusan penangguhan sebarang kejohanan atau majlis merupakan nasihat daripada Institut Sukan Negara (ISN) sendiri.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, sambutan Hari Sukan Negara pada 10 Oktober ini yang bertujuan menjadikan sukan sebagai budaya hidup dijangka menarik penyertaan tiga juta rakyat di seluruh negara.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 ditarifkan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas ditarifkan sebagai berbahaya.