Pasukan hoki lelaki Malaysia terpaksa akur apabila tewas kepada Kanada, lawan yang lebih handal, dalam perlawanan akhir Kejohanan Hoki Siri Final Lelaki FIH 2019 di sini malam tadi.

Pasukan negara, yang juga dikenali sebagai 'The Speedy Tigers' kalah 2-3 kepada pasukan nombor 10 dunia itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah turut berangkat menyaksikan perlawanan akhir yang mendebarkan itu.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Meskipun kalah, Malaysia akan menyertai Kanada sebagai dua pasukan pertama melangkah ke Kelayakan Olimpik pada penghujung tahun ini.

Kedua-dua pasukan itu akan mengambil tempat masing-masing bersama-sama pasukan teratas daripada dua lagi Siri Final Lelaki FIH yang akan diadakan di Bhubaneswar, India dan Le Touquet, Perancis, pada Jun ini.

"Kami memperoleh banyak peluang. Saya kurang gembira dengan cara anak buah saya bermain hari ini. Bagaimanapun, saya tetap beri pujian kepada pemain saya, mereka terus berjuang sehingga minit terakhir.

"Kami mendapat dua peluang pukulan penalti tetapi tidak dapat menjaringkan gol. Peluang ini bukan selalu datang, tetapi namun kami gagal memanfaatkannya," kata ketua jurulatih, Roelant Oltmans.

The Speedy Tigers memulakan jaringan menerusi gol padang Firhan Ashari dalam minit kelapan perlawanan dan aksi semakin rancak pada suku kedua apabila Malaysia mendapat pukulan penalti namun Fitri Saari mensia-siakan peluang itu setelah pukulannya gagal menepati gawang.

Pasukan Kanada terus menyerang dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Scott Tupper pada minit ke-20 dan melebarkan jurang gol dua minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Brenden Bissett.

Permainan bertambah rancak selepas waktu rehat namun Malaysia, yang bekerja keras untuk menyamakan kedudukan, terus terlepas peluang untuk menjaring gol.

Jaringan gol padang James Kirkpatrick pada minit ke-43 terus melebarkan jurang penguasaan Kanada, bagaimanapun Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil memberi sedikit kelegaan kepada pasukan negara pada minit ke-53 menerusi jaringan gol padang.

Seminit kemudian Malaysia memperoleh peluang pukulan penalti kedua namun percubaan Faizal Saari itu digagalkan penjaga gol Kanada, Antoni Kindler.

Pasukan negara kembali bersemangat dengan sokongan padu peminat namun sudah terlambat untuk menyamakan kedudukan dan mengheret Kanada sehingga penentuan pukulan penalti.

Terdahulu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Itali mengalahkan Austria 2-1.

-- BERNAMA