Pasukan hoki negara gagal mengutip tiga mata pertama selepas dibelasah juara dunia tiga kali, Belanda, 0-7 pada aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India, malam ini, lapor Bernama.

Pada aksi di Stadium Kalinga, skuad bimbingan jurulatih Roelant Oltmans membuka permainan dengan baik apabila berjaya mengekang kemaraan Juara Eropah itu namun pertahanan Malaysia goyah apabila gawang S. Kumar digegarkan sebanyak tiga kali pada separuh masa pertama.

Pasukan gergasi Eropah itu membuat rembatan tangkas melalui gol padang Jeroen Hertzberger pada minit ke-12 dan minit ke-29 serta satu lagi gol padang oleh ketua pasukan berusia 30 tahun, Billy Bakker pada minit ke-21.

The Speedy Tigers gagal memperoleh sebarang jaringan apabila pasukan Belanda dilihat lebih menguasai permainan namun S.Kumar perlu diberikan pujian dengan menidakkan lima kali pukulan sudut penalti Belanda.

Masuk babak kedua, gawang Malaysia digegarkan lagi dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-35 oleh Mink van der Weerden serta jaringan padang mudah oleh Robbert Kemperman pada minit ke-42.

Belanda menjaringkan gol keenam pada minit ke-57 melalui Thierry Brinkman dan jaringan kemenangan pasukan itu disudahkan oleh pukulan hatrik Hertzberger pada minit ke-60.

Berdasarkan 33 pertemuan menentang pasukan di ranking keempat dunia itu, Malaysia yang kini di kedudukan ke-12 dunia hanya pernah menang tiga kali dan seri dua kali manakala selebihnya tewas kepada Belanda.

Malaysia yang diundi dalam 'kumpulan maut' sekali gus berada di laluan sukar seterusnya kerana akan bertemu bekas juara dunia empat kali, Pakistan pada 5 Dis ini dan juara dunia dua kali, Jerman pada 9 Dis.

Skuad negara perlu menamatkan aksi dalam kelompok tiga terbaik peringkat kumpulan untuk melangkah ke saingan sete-rusnya dan menghidupkan misi memburu kelompok 10 terbaik.

Mengikut format pertandingan Piala Dunia melibatkan 16 pasukan, juara daripada empat kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir manakala pasukan kedua dan ketiga dalam setiap pasukan akan ke pusingan kedua 'playoff' untuk memburu empat lagi slot dalam peringkat suku akhir.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan negara dalam Piala Dunia adalah menduduki tangga keempat ketika menjadi tuan rumah pada 1975.