Ibu kepada pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid menjadikan amalan menunaikan solat sunat tahajud, taubat, hajat dan witir hampir setiap malam bagi memohon kejayaan dan keberkatan buat 13 anaknya.

Selemah Abu Bakar, 56, berkata, amalan tersebut akan bertambah sekiranya anak kesembilan itu terlibat dalam perlawanan selain mengamalkan zikir dan doa meminta ALLAH permudahkan urusan Safawi.

“Kalau ada game (perlawanan), lebihlah sikit buat contohnya biasa empat (rakaat) akan jadi enam. Mak cik biasa bangun awal pagi, buat solat sunat sementara menunggu Subuh.

“Sebelum perlawanan malam tu, pagi boleh buat solat Dhuha pula dan sentiasa berdoa supaya ALLAH berikan dia kemenangan dan kesihatan yang baik untuk bermain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Selemah, dia berbangga dan bersyukur kepada ALLAH SWT dengan kejayaan Safawi menewaskan pasukan Indonesia dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil Selasa lalu.

Menganggap Safawi sebagai anak yang baik dan banyak membantu keluarga, dia berharap pemain yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 baru-baru ini akan terus menempa kejayaan.

“Dengan mok, dia tak pernah kata 'ih', tak pernah kata 'ah'. Bukan mak cik nak berbangga atau apa, sejak dari sekolah dia memang begitu.

“Kemenangan yang dicapai juga mungkin sebab dia banyak membantu keluarga dan orang lain yang memerlukan. Dia tidak pernah lokek, selalu hulurkan bantuan jika ada adik-beradik atau saudara susah,” katanya.

Bapanya, Rasid Sulong, 65, pula berkata, Safawi akan menghubungi dia dan isteri setiap kali sebelum perlawanan bermula bagi memohon restu dan ia menjadi amalan ketika mengikuti perlawanan sejak di bangku sekolah.

“Sebelum perlawanan, dia akan hubungi minta saya dan mak dia doakan dia dapat bermain dengan baik, dapat jaringkan gol kemenangan dan tidak bersikap kasar di padang.

"Saya pula nasihati dia supaya jaga solat, anak saya dari kecil saya terapkan supaya pentingkan solat,” katanya.