Selain daripada ganjaran wang tunai untuk atlet yang memperolehi pingat, atlet Sukan Malaysia (Sukma) Perak bakal menerima insentif khas sekiranya mereka melepasi pencapaian terbaik peribadi masing-masing.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau akan mencari jalan untuk memberi insentif kkas itu sebagai pengiktirafan kepada atlet yang cemerlang.

Beliau berpendapat, sukan mampu mewujudkan semangat kecintaan kepada negeri dan negara di samping membina keyakinan diri atlet itu sendiri.

“Jadi, oleh sebab itulah saya ingin mengajak para atlet semua agar mereka mencabar diri sendiri, berlawan dengan diri sendiri, bukan bertanding dengan orang lain, bukan dengan atlet lain, untuk mencapai personal best.

“Oleh itu, saya secara spontan sebenarnya tadi nak cari jalan bagaimana nak iktiraf mereka dalam bentuk insentif lain yang akan saya cuba dapatkan kepada semua atlet yang berjaya mencapai personal best di dalam temasya Sukma ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Perak yang akan mengambil bahagian di dalam Sukma XIX yang akan berlangsung 12 - 22 September ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal.

Ahmad Faizal berkata, insentif khas juga akan diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod.

Terdahulu, beliau mengumumkan insentif RM5,000 untuk atlet yang mendapat emas bagi acara individu, RM3,000 pingat perak dan RM1,000 pingat gangsa.

Bagi acara berpasukan pula, RM2,500 setiap seorang untuk pingat emas, RM1,500 pingat perak dan RM500 pingat gangsa.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berharap setiap atlet Perak dapat memainkan peranan sebagai duta kecil untuk bersama-sama mempromosikan tempat-tempat menarik di negeri ini.

Menurut beliau, menjadi tuan rumah sesuatu temasya sukan seperti Sukma memberi peluang yang amat baik untuk mempromosikan negeri, tambahan pula Perak merupakan negeri tertinggi di Malaysia yang menerima pelancong domestik.

“Maka, Sukma ini boleh kita gunakan sebagai satu platform untuk memperkenalkan ataupun perhebatkan lagi promosi tentang tempat-tempat yang menarik di negeri Perak ini.

Beliau juga berharap pihak media dapat memainkan peranan yang sama sepanjang mereka membuat liputan temasya sukan tempatan terbesar di negara ini.

Kira-kira 12,000 atlet dan pegawai dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam 29 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma XIX.

Perak sahaja akan menghantar sejumlah 581 atlet dan 129 pegawai.