SELEPAS sekian lama, Stadium Likas kembali bergema dengan sorakan lebih 21,000 penyokong yang hadir menyaksikan aksi pusingan kedua Piala FA di antara Sabah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kota Kinabalu, malam tadi.

Ada yang mengatakan tiket habis dijual kerana faktor JDT yang sememangnya pasukan disegani di Malaysia, namun tidak kurang juga mengatakan kehadiran penyokong yang ramai disebabkan prestasi semasa skuad Badak.

Perlawanan malam tadi menyaksikan penyokong dihidang dengan aksi menarik kedua-dua pasukan sehingga keputusan terpaksa ditentukan selepas 120 minit permainan dengan JDT berjaya mengatasi Sabah 2-1.

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan perlawanan itu, terdapat beberapa perkara yang pastinya kurang 'enak' dilihat dan didengar, khususnya selepas permainan tamat.

Antara yang menjadi bualan hangat pastinya balingan objek seperti botol air dan selipar ke dalam padang, dipercayai dilakukan oleh segelintir penyokong yang kurang berpuas hati dengan pengadil serta beberapa pemain, khususnya pemain JDT.

Kejadian itu turut mengakibatkan pemain dan pegawai JDT terpaksa bersembunyi di bangku simpanan selama hampir setengah jam sebelum masuk ke bilik persalinan dengan bantuan pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, tiada kejadian lebih buruk dilaporkan berlaku dengan keadaan berjaya dikawal pasukan keselamatan sehinggalah pemain, pegawai, penyokong dan petugas beredar daripada stadium.

Dalam pada itu juga, satu lagi perkara yang dianggap mengecewakan ialah sikap penyokong yang meninggalkan sampah di tempat duduk mereka selain mereka yang membuang sampah sesuka hati di sekitar stadium.

Difahamkan, petugas Stadium Likas terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan sehingga jam 1 pagi dan ia bersambung semula pagi tadi.

Kehadiran penyokong yang ramai sudah semestinya memeriahkan lagi perlawanan yang berlangsung, namun sikap segelintir penyokong yang tidak memiliki rasa tanggungjawab perlu diubah demi menjadikan Stadium Likas bukan saja gelanggang keramat buat Sang Bada, tetapi juga menjadi contoh baik kepada gelanggang-gelanggang lain.