PADA 2016, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dicanang sebagai calon terbaik seterusnya buat badminton Malaysia selepas Datuk Lee Chong Wei.

Tetapi tidak ramai tahu kisah sebenar kejatuhan bekas juara kebangsaan perseorangan lelaki itu.

"Saya tidak sangka. Karier saya ini amat berliku -- sekejap mahu dibuang, nak keluar sendiri selain jurulatih tidak mahu jaga saya lagi.

"Pada penghujung 2016, saya dikesan mengalami masalah tulang rawan tergelincir dan saya disarankan doktor agar berehat selama enam bulan.

"Ketika itu saya berasa amat kecewa. Kecederaan itu kacau rehat saya, tidak dapat tidur, rasa lenguh dan sakit.

"Saya berdepan masalah kurang tidur kerana susah hendak berbaring.

"Dalam masa sama, saya sedar untuk dapatkan keyakinan dari bawah semula agak sukar kerana saya memahaminya dan berasal dari situ," katanya.

Dalam kalangan ahli keluarganya, atlet berusia 29 tahun itu bukan seorang saja yang aktif dengan sukan berkenaan memandangkan adik-beradiknya, Ameer dan Amzaar, juga aktif sejak keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2018.

Iskandar, bagaimanapun, belum mahu menyerah kalah dalam kariernya sungguhpun pernah terlintas untuk menggantung raket, apatah lagi diketepikan daripada pemilihan skuad Piala Thomas 2020 selain hasrat untuk beraksi dalam Kejohanan Seluruh England dan Kejohanan Dunia tidak kesampaian.

Dia dibimbing Ismail Saman selama setahun dan kini menyertai Akademi Sports Affairs.

"Saya memang terkilan sebab di peringkat remaja, saya merupakan pemain nombor satu.

"Oleh kerana tersekat lama ketika peralihan ke peringkat senior, saya ibarat mengalami kejutan budaya kerana terfikir apakah benar saya akan berdepan mereka, mampukah saya.

"Dengan umur sekarang, saya terpaksa terima hakikat dan saya perlu salahkan diri sendiri kerana tidak berusaha dari awal-awal lagi.

"Tetapi bukan saya tidak layak, cuma saya mengalami kecederaan, kemerosotan prestasi selain pertembungan jadual Sukan SEA dan Kejohanan Dunia."