Bekas Juara Piala Dunia 2006, Itali menjadi satu lagi nama besar yang tersingkir dalam saingan Piala Dunia kali ini apabila tewas 0-1 kepada Uruguay dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Estadio das Dunas di Natal yang turut dicemari dengan aksi kontroversi oleh penyerang Uruguay, Luis Suarez.

Luis Suarez dikatakan telah mengigit bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini ketika cuba untuk bersaing mendapatkan bola di dalam kotal penalti Itali.

World Cup
Pemain Itali, Giorgio Chiellini menunjukkan bahunya yang digigit Luis Suarez. - AP Photo/Hassan Ammar

Namun, tindakannya itu gagal disedari oleh pengadil dari Mexico, Marco Rodriguez yang tidak mengambil sebarang tindakan meskipun dibantah keras oleh pemain-pemain Itali.

Suarez dijangka bakal menerima hukuman berat dari FIFA selepas ini seandainya perbuatan beliau itu diadukan oleh pegawai pasukan Itali.

Untuk rekod, perbuatan menggigit pemain lawan ini merupakan kesalahan kali ketiga beliau kerana sebelum ini ketika beraksi untuk pasukan Ajax Amsterdan, beliau pernah digantung tujuh perlawanan pada 2010 kerana mengigit bahu pemain PSV Eindhoven, Otman Bakkal ketika seri 0-0.

April tahun lalu pula, ketika berkhidmat bersama Liverpool pula, Suarez telah digantung 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris kerana mengigit bahu pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic ketika perlawanan berkesudahan seri 2-2.

Piala Dunia
Pemain Itali, Andrea Barzagli (kiri) dan Alessio Cerci berjalan meninggalkan padang setelah skuad mereka tumpas 0-1 kepada Uruguay awal pagi tadi. - AP Photo/Ricardo Mazalan

Itali yang tertekan kerana bermain dengan 10 pemain setelah Claudio Marchisio dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran terhadap pemain Uruguay, Egidio Arevalo terpaksa bertahan sambil melakukan serangan balas sekali-sekala ke gawang Uruguay.

Malah, tindakan pemain Uruguay yang cuba melengah-lengahkan perlawanan juga menyebabkan seorang staf kejurulatihan Itali diarahkan meninggalkan bangku pemain oleh pengadil perlawanan.

Peluang tersebut diambil pantas oleh Uruguay untuk melancarkan serangan berbahaya ke gawang Itali dan gol kemenangan Uruguay akhirnya dijelmakan oleh tonggak pertahanan, Diego Godin ketika perlawanan berbaki lima minit untuk ditamatkan.

Dengan kemenangan itu, Uruguay berada di tangga kedua kumpulan mengumpul enam mata dan mengiringi Costa Rica untuk ke pusingan kedua.

Sementara itu, England hanya berjaya pulang membawa satu mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Costa Rica di Estadio Mineirao di Belo Horizonte.

Rombakan besar-besaran dilakukan oleh Roy Hodgson terhadap England dimana beliau menurunkan rata-rata pemain yang belum lagi bermain sepanjang piala dunia ini seperti Frank Lampard, Phil Jones, Chris Smalling, Luke Shaw, James Milner dan penjaga gol, Ben Foster namun masih gagal mencari gol kemenangan buat England.

England kekal di tempat tercorot Kumpulan D dengan satu mata.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Edinson Cavani (Uruguay) dan Ross Barkley (England)