Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memohon seluruh peminat bola sepak negara agar tidak menjadi ‘orang tengah’ dengan menjual tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Harimau Malaya itu kepada penyokong pasukan pelawat Indonesia.

Ini kerana, tiket bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Malaysia menentang Indonesia yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini dijangka laris.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, tiket perlawanan berkenaan dijangka habis terjual dalam masa terdekat memandangkan kuantiti tiket perlawanan itu semakin berkurang.

“Berdasarkan situasi semasa, berkemungkinan besar tidak akan ada penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket di stadium pada hari perlawanan (Selasa) jika kesemua tiket telah habis terjual secara online di www.tickethotline.com.my,”

“Justeru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin memohon kerjasama daripada seluruh warga bola sepak negara supaya tidak menjadi 'orang tengah' dengan menjual tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Harimau Malaya itu kepada penyokong pasukan pelawat, Indonesia,” jelas kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook FAM.


Tambah kenyataan itu lagi, tindakan itu wajar dilakukan bagi memastikan tidak berlakunya masalah terutama dari segi keselamatan serta aliran kemasukan penyokong kedua-dua pasukan ke dalam stadium pada hari perlawanan, Selasa ini.

Jelas FAM lagi, isu berkenaan pernah terjadi pada perlawanan Malaysia menentang Thailand di stadium sama, Khamis lalu apabila jumlah kehadiran penyokong pasukan pelawat, Thailand adalah seramai kira-kira 5,000 orang, melebihi jumlah tiket yang telah diperuntukkan FAM kepada penyokong Thailand iaitu untuk 2,500 orang.

Katanya, ia berpunca daripada sikap segelintir warga bola sepak Malaysia sendiri yang telah 'membantu' penyokong pelawat membeli tiket menggunakan kuota kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah (Malaysia) untuk masuk ke dalam stadium, sekali gus menyukarkan pihak keselamatan untuk menempatkan para penyokong pelawat ini di tempat yang sepatutnya.

“Bagi mengelak kejadian yang sama berulang di perlawanan Selasa ini, FAM dan PDRM sekali lagi menasihatkan agar semua pihak mengambil sikap bertanggungjawab tidak menjual hak penyokong Malaysia ini kepada penyokong pelawat.

“Saya percaya, jika semua pihak memberikan kerjasama dalam menangani masalah ini, sudah pasti tidak timbul masalah berkaitan tempat duduk penyokong Malaysia dan penyokong Indonesia,” ujar Ramalingam dalam kenyataan itu lagi.

Untuk makluman, FAM telah memperuntukkan sejumlah 4,500 tiket bagi penyokong pasukan pelawat, Indonesia seperti mana yang dimohon oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi perlawanan Selasa ini.

Penjualan tiket bagi penyokong pelawat ini akan diuruskan sendiri oleh pihak PSSI.