Tutup

Berita  | Sukan

Jangan terlalu yakin walau dapat undian mudah - KP MSN

Jangan terlalu yakin walau dapat undian mudah - KP MSN
AHMAD SHAPAWI: Atlet dan jurulatih sukan terbabit perlu lebih berwaspada agar tidak tersalah langkah melakukan percaturan yang akhirnya merugikan kontinjen negara.
KUALA LUMPUR: Keputusan undian yang mudah bagi beberapa acara berpasukan di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, tidak boleh diambil mudah dan dianggap sebagai petanda awal untuk kontinjen negara meraikan kemenangan.

Sebaliknya, atlet dan jurulatih sukan terbabit perlu lebih berwaspada agar tidak tersalah langkah melakukan percaturan yang akhirnya merugikan kontinjen negara.
Peringatan itu diberikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika ditanya mengenai keputusan undian beberapa sukan khususnya dua sukan utama iaitu badminton dan bola sepak yang lebih berpihak kepada pasukan negara.

"Majlis undian beberapa acara sukan telah dijalankan khususnya acara berpasukan dan ada peraturan yang ditetapkan agak melegakan kontinjen Malaysia. Pada saya, sama ada undian itu mudah atau tidak, misi tetap tidak berubah.
"Mereka perlu beraksi sebaik mungkin. Kalau dapat undian yang mudah, tapi terlalu yakin, dan menyebabkan kita kalah di peringkat kumpulan, itu merupakan suatu yang paling malang.

"Jadi semua jurulatih dan atlet sepatutnya lebih mengetahui. Jangan ambil mudah, seolah-olah kita menang lebih awal dengan keputusan undian," katanya ketika ditemui wartawan di Majlis Sukan Negara Malaysia, hari ini.

Pada majlis undian yang berlangsung 15 Oktober lepas, skuad bola sepak negara melepasi kumpulan maut apabila diundi bersama Myanmar, Filipina, Kemboja dan Timor Leste dalam Kumpulan A, manakala juara bertahan Thailand diundi dalam kumpulan sukar bersama-sama Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

Bagi acara badminton pula, skuad badminton lelaki negara yang diletakkan sebagai pilihan kedua mendapat laluan mudah apabila berdepan tuan rumah Filipina dalam pusingan suku akhir acara berpasukan manakala pasukan wanita pula diletakkan sebagai pilihan ketiga akan berdepan Kemboja juga di suku akhir.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi turut berkongsi nasihat dan persediaan kontinjen negara menjelang Sukan SEA Filipina yang akan berlangsung pada 30 Nov sehingga 11 Dis, tahun ini.

"Nasihat saya untuk Sukan SEA ini, kita tidak mahu mengalami sebarang kecederaan dan perlu berhati-hati dari segi kesihatan, pemakanan dan lebih fokus kepada perlawanan.

Beberapa lawatan dan mesyuarat pasukan dari Ketua Kontinjen Negara (CDM) dan Timbalan Ketua Kontinjen Negara (DCDM) telah kami lakukan dan kami akan terus mengadakan beberapa program bersama kontinjen negara sehingga tarikh bertolak ke Sukan SEA," katanya.

-- BERNAMA


Tag: temasya sukan sea, filipina, MSN, majlis sukan negara, atlet negara, ahmad shapawi ismail, jurulatih sukan, kontinjen negara



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.