Tutup

Berita  | Sukan

JDT atasi Selangor di Larkin, Zaquan wira Kedah di Alor Setar

JDT atasi Selangor di Larkin, Zaquan wira Kedah di Alor Setar
Antara aksi menarik pertemuan JDT dengan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada Sabtu malam. - Bernama
KUALA LUMPUR: Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Juara 2017 Johor Darul Ta'zim (JDT) berdepan tentangan sengit sebelum berjaya mengatasi Selangor 2-1 pada aksi pertama separuh akhir saingan Piala Malaysia 2019, malam ini.

Kemenangan itu bukan satu bekalan selesa buat anak buah Ketua Jurulatih Benjamin Mora untuk di bawa ke Stadium Shah Alam bagi aksi kedua Sabtu depan, apabila Selangor sebelum ini bangkit menewaskan juara bertahan, Perak 3-2 pada aksi suku akhir, bulan lepas.
Namun, pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, JDT yang mencipta rekod tersendiri merangkul gelaran juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut menampilkan persembahan berkualiti dengan kekemasan permainan dan disiplin bertahan yang tinggi.

Skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi penyerang sensasi negara, Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-14 yang bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.
Kegembiraan pasukan tuan rumah hanya bertahan tiga minit apabila penyerang berbisa skuad Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan pada minit ke-17 sekali gus meniupkan semangat pasukan pelawat, namun kedudukan kekal 1-1 sehingga rehat.

Gol kemenangan JDT disumbangkan pemain import, Leandro Velazquez selepas bekas pemain remaja kebangsaan Argentina itu meledak gol memukau dari luar kotak penalti pada minit ke-49 sekali gus melengkapkan kemenangan pasukan.

Pada masa sama, juara Piala FA 2019, Kedah menarik nafas lega apabila berjaya mengikat juara Pahang 3-3 dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak muncul wira pasukan Lang Merah apabila menjaringkan gol penyamaan pada penghujung babak kedua perlawanan selepas keputusan 3-2 dilihat seakan memihak Pahang.

Skuad Tok Gajah di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Dollah Salleh bermula garang dengan mendahului 2-0 seawal 30 minit pertama hasil jaringan Wan Zaharulnizam Zakaria pada minit ke-13 sebelum Dickson Nwakaeme menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26.

Tersentak ketinggalan 0-2 di laman sendiri, Kedah bangkit menyamakan kedudukan hasil dua jaringan penyerang import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez pada minit ke-32 dan minit ke-39, namun Pahang kembali mendahului pada minit ke-73 menerusi Muhamad Nor Azam Abdul Azih.

Aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada Sabtu depan menyaksikan Kedah bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan sementara Selangor melayani kunjungan JDT di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA


Tag: JDT, selangor, bola sepak, larkin, benjamin mora, shah alam, piala malaysia, kedah, pahang, stadium darul aman



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.