JOHOR Darul Takzim (JDT) menjulang Piala Sumbangsih menerusi pententuan sepakan penalti selepas kedua pasukan mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

JDT hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke 6 menerusi percubaan import baru Juan Martin Lucero namun mudah diselamatkan penjaga gol Norazlan Razali.

Lucero sekali lagi mempunyai peluang membuka rekod jaringan bersama JDT namun sekali lagi digagalkan Norazlan.

Masuk minit ke-27 pemain sayap Hazwan Bakri terpaksa dikeluarkan selepas mengalami masalah 'hamstring' dan digantikan dengan bekas pemain Pahang R. Gopinathan.

Tatkala babak pertama dilihat bakal tamat tanpa sebarang jaringan, import Singapura Haris Harun mengembirakan penyokong tuan rumah dengan meledak gol pembukaan.

Bermula babak kedua Selangor mula memperkemaskan permainan dengan menerapkan corak 'counter-attack'.

Pada minit ke-53 tercetus insiden kekasaran apabila perancang Selangor Nazmi Faiz dilihat menyiku S. Kunanlan yang memaksa pengadil mententeramkan kedua pemain.

Skuad Red Giants terpaksa menunggu hingga memasuki minit ke-60 apabila Hafiz Kamal meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma.

Kedudukan 1-1 terikat sehingga tamat perlawanan sekaligus kedua pasukan berkongsi 1 mata.

Kejuaraan Piala Sumbangsih terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Azrif Nasrulhaq gagal menyempurnakan sepakannya sekaligus memberi kemenangan kepada JDT.


Keputusan perlawanan lain:

Felda United 2-0 Kedah

Pahang 2-2 Terengganu FC II

PDRM 1-0 Sarawak

Perak 0-0 Kelantan

Terengganu 1-0 P.Pinang