Di atas kertas, kelab Jepun, Gamba Osaka sememangnya lawan yang sukar, namun B Sathianathan percaya Johor Darul Ta'zim (JDT) mampu membuat kejutan di pusingan kelayakan akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2017.

Baginya kelebihan bermain tanpa tekanan mampu membantu JDT menjinakkan Gamba Osaka biarpun akan beraksi di gelanggang lawan di Stadium Suita City, malam esok.

Keyakinan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Kebangsaan itu adalah bersandarkan prestasi JDT pada pusingan kedua kelayakan ACL pada 31 Jan lepas ketika menewaskan Bangkok United 5-4 menerusi sepakan penalti di Stadium Thammasat, Bangkok.

Beliau yakin skuad berkenaan yang dibarisi pemain muda dan beberapa pemain import yang lincah tidak mempunyai tekanan dalam menghadapi lawan, sekali gus meluaskan peluang bagi menyaingi antara pasukan terbaik Asia itu.

"Semua orang tahu Gamba Osaka ialah pasukan yang kuat tetapi bagi saya, JDT mungkin akan buat kejutan dan diharap semua pemain boleh beraksi dengan tenang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang JDT yang bakal bertemu Gamba Osaka di Stadium Suita City, Osaka, kira-kira pukul 7 malam esok waktu Malaysia.

"Daripada apa yang saya nampak dalam Liga Super, ada orang kata JDT lemah namun sebenarnya ia semakin kuat kerana pemain import barunya sama taraf dengan pemain terdahulu, Jorge Pereyra Diaz serta Juan Martin Lucero.

"Perlawanan itu turut memberi peluang kepada JDT untuk melangkah ke peringkat tertinggi memandangkan tidak banyak pasukan negara berpeluang bertemu kelab dari Arab Saudi, Jepun dan Korea Selatan," katanya.

Bagi Sathianathan, kejayaan JDT bukan hanya kebanggaan kepada negara, malah dapat memperbaiki mutu bola sepak negara kerana rata-rata pemainnya terdiri daripada pemain muda, sekali gus memberi mereka pendedahan awal di peringkat antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA