Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat kejutan tatkala tinggal dua hari sahaja lagi Liga Malaysia bermula apabila mengumumkan perpisahan dengan jurulatihnya, Mario Gomez, sebentar tadi.

Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju membawa haluan masing-masing.

"Keputusan ini dibuat demi kebaikan kelab kerana falsafah dan matlamat kelab lebih penting dari segala-galanya. Bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada jurulatih legenda JDT (Gomez) di atas sumbangan besar beliau kepada kelab ini sepanjang tempoh perkhidmatan.

"Kami akan sentiasa mengingati pencapaian beliau yang berjaya membawa JDT menjuarai Piala Sumbangsih (2016), Piala FA (2016), dua kejuaraan liga (2015 dan 2016) dan Piala AFC pada tahun 2015. Selamat maju jaya buat beliau dalam karier kejurulatihan pada masa akan datang," kata Tunku Tun Aminah seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Keputusan itu dibuat selepas JDT dikecewakan dalam dua perlawanan persahabatan di Thailand, tewas 0-1 di tangan Buriram United FC, 14 Januari, dan tewas 0-1 kepada Air Force Central FC, 11 Januari, sehari sebelum seri 1-1 dengan Chonburi FC.

Dalam aksi pra-musim terdahulu, JDT menewaskan kelab Singapura, Geylang International FC, 5-0 pada 5 Januari.

Jurulatih berusia 59 tahun dari Argentina, Gomez, mula membimbing JDT sejak 2015 selepas berhijrah dari kelab China, South China.

JDT akan memulakan kempen bola sepak Malaysia pada musim ini dengan menentang Kedah dalam perlawanan Piala Sumbangsih, Jumaat ini.