Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

JDT setuju beri 300 tiket tambahan kepada penyokong Kedah

JDT setuju beri 300 tiket tambahan kepada penyokong Kedah
Dengan penambahan itu, penyokong Kedah kini mendapat 800 tiket menyaksikan perlawanan pembukaan Liga Malaysia musim ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri yang baru dirasmikan. - Gambar fail
PETALING JAYA: Johor Darul Ta'zim (JDT) bersetuju untuk memberikan tambahan 300 tiket kepada penyokong Kedah bagi aksi Piala Sumbangsih 2020 pada Jumaat ini.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Shamsudin, berkata dengan penambahan itu, penyokong Kedah kini mendapat 800 tiket menyaksikan perlawanan pembukaan Liga Malaysia musim ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri yang baru dirasmikan.
"Secara rasminya kita akan mengetahui esok. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada (pemilik JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana dapat berikan tambahan tiket kepada penyokong Kedah," katanya kepada pemberita selepas majlis undian pusingan kedua Piala FA, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kedah yang ditawarkan 500 tiket bagi aksi itu, meminta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan JDT supaya diberikan 1,000 tiket bagi aksi stadium baru skuad Harimau Selatan itu yang mempunyai kapasiti lebih 35,000 penonton.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Ab Hassan, yang berkata pasukan tuan rumah memang patut mengutamakan penonton sendiri.

"Boleh sahkan.. Alhamdulillah, bermakna JDT melanggar syarat manual untuk bagi tiket lebih.

"Saya tak nampak yang tak adil...Kita lebih utamakan pada penonton tempatan, supaya tak timbul masalah setiap kali perlawanan, pasukan bagi tiket tambahan kepada pasukan pelawat tapi penonton sendiri tak dapat masuk ke stadium, ini pernah terjadi," katanya.

Beliau, sebelum ini, berkata mengikut manual MFL mengenai pembahagian tiket, terdapat tiga kategori yang ditetapkan.

Bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 penonton, pelawat boleh diberikan 300 tiket, maksimum 500 tiket untuk stadium dengan kapasiti di antara 20,000 hingga 40,000 dan 1,000 tiket bagi stadium dengan kapasiti di antara 40,000 hingga 80,000.

Sementara itu, skuad Lang Merah yang merupakan juara bertahan Piala FA, diundi menentang Pahang pada pusingan kedua, manakala JDT bakal bertemu Kuala Lumpur Rovers.

-- BERNAMA