Final Argentina dan Jerman yang bakal berlangsung di Estadio do Maracana di Rio de Janeiro awal pagi ini disifatkan sebagai pertarungan antara benua dimana Argentina mewakili benua Amerika Selatan manakala Jerman pula mewakili Eropah.

Views: Estádio do Maracanã (Estádio Mário Filho) by Google Maps


Kedua-duanya mempunyai misi tersendiri dimana Argentina akan memastikan maruah Amerika Selatan terjaga di bumi Brazil dengan memenangi Piala Dunia manakala Jerman pula mahu menjadi pasukan Eropah pertama yang berjaya memenangi Piala Dunia di bumi Amerika Selatan.

Ini juga merupakan final ketiga bagi kedua-dua pasukan dimana pada 1986 di Mexico, Argentina menewaskan Jerman dengan jaringan 3-2 sebelum dibalas Jerman semula pada edisi 1990 di Itali dengan kemenangan 1-0.

Argentina
Argentina (Sumber: AFP)

Jerman gah membelasah tuan rumah, Brazil dengan jaringan 7-1 pada peringkat separuh akhir mahu melakukan perkara yang sama pada Argentina manakala skuad Argentina pula dilihat terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Belanda pada penentuan sepakan penalti pada peringkat separuh akhir.

Argentina mahu menutup sikap terlalu yakin Jerman dan kali ini barisan serangan mereka dijangka tidak hanya disandarkan kepada Lionel Messi tetapi juga akan bergandingan bersama Sergio Aguero.

Argentina harus mengelakkan daripada melakukan kesilapan di awal permainan seperti yang berlaku kepada pasukan Brazil kerana Jerman akan mengambil kesempatan untuk mencipta gol akibat kealpaan yang berlaku.

Skuad kendalian Alejandro Sabella ini juga harus meneruskan kecemerlangan permainan yang mereka tonjolkan sebelum meskipun dilihat agak bergelut dengan prestasi sebenar dan kebanyakkan kemenangan yang diperoleh hanyalah kemenangan tipis.

Selain itu, perancang Argentina, Angel Di Maria juga dikatakan akan diturunkan setelah diberikan suntikan meskipun terdapat keraguan terhadap kecergasan beliau setelah mengalami kecederaan peha namun jika beliau tidak dapat diturunkan tempat beliau akan diisi oleh sama ada Ezequiel Lavezzi atau Gonzalo Higuain.

‘Backfour’ pertahanan Argentina pula dijangka akan terus kekal diterajui oleh Pablo Zabaleta, Ezequiel Garay, Marcos Rojo dan Martin Demechelis disamping Sergio Romero sebagai penjaga gol.

Sementara itu, di kem Jerman pula, jurulatih Joachim Low dijangka akan mengekalkan barisan kesebelasan utamanya ketika membenam Brazil di Belo Horizonte.

Jerman akan bermain corak pantas seperti yang ditampilkan ketika bertemu Brazil dimana mereka sangat memanfaatkan kesilapan dan kelemahan pertahanan Brazil pada awal 20 minit pertama sehingga berjaya menyumbat empat gol tanpa balas.

Jerman
Jerman (Sumber: AFP)

Pasukan Bavaria ini sekali lagi akan menyandarkan kepada Thomas Muller sebagai tonggak hadapan bergandingan dengan penyerang veteran, Miroslav Klose.

Final ini bakal menjadi medan terakhir buat Miroslav Klose untuk menambah koleksi gol peribadinya di Piala Dunia selepas bergelar Penjaring Terbanyak Gol Sepanjang Zaman dengan 16 gol hasil empat penampilannya dalam Piala Dunia.

Mesut Ozil, Sami Khedira, Bastian Schweinsteiger dan Toni Kroos akan mengawasi barisan tengah manakala Mats Hummels, Benedikt Howedes, Jerome Boateng dan kapten pasukan, Philipp Lahm di bahagian pertahanan. Gawang pula akan dikawal oleh Manuel Neuer.

Final ini juga menjadi medan terakhir buat Thomas Muller dan Lionel Messi untuk membuktikan ketajaman penyudah mereka di hadapan gol dalam usaha untuk memenangi ‘Anugerah Kasut Emas’ sebagai ‘Penjaring Terbanyak Piala Dunia 2014’ dan sekaligus memintas pendahulu James Rodriguez dari Colombia.

Muller memerlukan dua gol manakala hatrik daripada Messi sudah cukup untuk salah seorang daripada mereka memenangi anugerah tersebut namun, barisan pertahanan kedua-dua pasukan pasti akan mengawal rapi kedua-dua pemain lincah ini.

RAMALAN ASTRO AWANI: Argentina..2 Jerman..3

Bagaimana dengan anda, siapakah yang bakal menjuarai Piala Dunia 2014? Adakah Argentina atau Jerman?