HAYATUN Najihin Radzuan, 20 tahun, atau lebih dikenali sebagai Jihin Radzuan adalah seorang gadis periang yang sentiasa tersenyum.

Namun di sebalik tawanya yang bersahaja itu, dia merupakan seorang jaguh tempur di gelanggang seni mempertahankan diri.

Jihin merupakan atlet wanita termuda negara yang bertarung secara professional dalam pertandingan seni bela diri campuran (MMA), ONE Championship.

Anak kelahiran Johor Bahru ini terkenal dengan jolokan nama ‘Shawdowcat’ di pentas MMA kerana minatnya terhadap kucing.

Lahirnya 'Shadowcat'

Ketika ditanya bagaimana dia mendapat gelaran ‘Shadowcat’, gadis muda ini mula ketawa kecil dan teringat akan jurulatihnya.

Jihin memberitahu bahawa gelaran tersebut diberikan oleh jurulatihnya yang suka mengusik serta bergurau senda.

“Kita tak boleh ‘over excited’ bila nak hadapi suatu pertandingan atau kejohanan,” kata Jihin yang sentiasa gigih menghadiri sesi latihan.

Jihin yang diberi jolokan nama 'Shadowcat' ini gemar membawa kucing-kucingnya ke sesi latihan. - Foto Instagram/jihinr

Jihin sudah mula berjinak dalam seni mempertahankan diri ketika berusia 6 tahun lagi menerusi silat dan mula bergiat aktif sejak sekolah menengah.

Dia menjadikan dirinya seorang petarung yang serba lengkap dengan kemahiran Muay Thai, yang juga mempraktikkan wushu dan mempunyai tali pinggang biru dalam Brazilian Jiu-jitsu.

Bekas pemegang pingat emas dan perak Terbuka Asia Tenggara dalam Muay Thai, Jihin terkenal dengan skil bertarung yang mengagumkan.

Dari MIMMA ke Ultimate Beatdown ke ONE Championship

Pada mulanya Jihin tidak mengetahui apa sebenarnya MMA. Apa yang dia tahu ketika itu ialah seni mempertahankan diri tradisional seperti silat dan wushu.

Empat tahun yang lalu, Jihin melihat seorang ‘fighter’ dari Korea di kaca TV, yang kemudiannya memperkenalkan MMA kepadanya, dan dari situ dia mula jatuh cinta dengan sukan itu.

Minat yang mendalam terhadap MMA membuatkan Jihin mula mencari gim untuk berlatih.

Selepas sebulan mencari, Jihin memilih ‘Ultimate MMA Academy’ yang menjadi senarai teratas carian di Google.

Dia kemudian meminta kakaknya untuk membayarkan yuran gim sebagai hadiah hari jadinya, dan di situlah segalanya bermula.

Dari penyertaannya ke MIMMA musim ke-4 (MIMMA4), dan seterusnya menjadi juara, Jihin bertanding pula di Ultimate Beatdown menentang Masrina Hamka dari Indonesia dan menang.

Selepas itu, dia ditawarkan kontrak untuk beraksi di ONE Championship pula.

Jihin mengambil langkah pertama dalam gelanggang ONE Championship menentang Puja Tomar dari India pada Mac lalu, dan seterusnya Priscilla Hertati Lumban Gaol dari Indonesia pada Julai.

Dia memenangi kedua-dua petarungan itu.

Sokongan ibu

Pada mulanya, pernyertaan Jihin dalam sukan ini tidak mendapat sokongan ibunya namun selepas melihat kesungguhan anaknya, dia mula memahami minat Jihin.

“Jihin perempuan, tak boleh ganas sangat, cuba cari sukan yang feminin sikit," Jihin menceritakan bagaimana ibunya agak risau ketika itu.

"Kemudian hari demi hari Mak nampak saya beri sepenuh hati untuk MMA, dia cuba faham dan sekarang mula menyokong Jihin.

“Waktu mula-mula ajak dia tengok ‘fight’, Mak tak nak, dia takut. Tapi dia nak tengok video... bila tak bagi, dia marah tau," kata Jihin sambil ketawa kecil.

"Bila kita pergi kerja atau pergi berlatih, kakak akan cakap, 'Oh Mak selalu tengok video Jihin ulang-ulang'.”

Jurulatih jadi inspirasi

Ketika ditanya tentang idolanya dalam sukan ini pula, Jihin memberitahu bahawa jurulatihnya (Melvin Yeoh) yang menjadi inspirasi untuk dirinya.

“Dia bukan fighter sepenuh masa... dia seorang cikgu di siang hari. Jurulatih saya pandai imbangkan masa untuk kerja dan latihan. Jadi saya ambil dia sebagai idola.”

Selain itu, Jihin berkata, mewakili Malaysia dalam kejohanan ONE Championship pada usia muda membuktikan bahawa wanita juga mempunyai kemampuan untuk bertarung dalam mencapai impian.

Jihin yang mempunyai rekod kemenangan tanpa kalah 4-0, akan berdepan petarung dari Taiwan, Jenny Huang dalam kejohanan ONE: Destiny Of Champions di Kuala Lumpur, pada 7 Disember nanti.

Ini merupakan pertarungan profesionalnya yang keempat dan ketiga untuknya dalam ONE Championship dalam tahun ini sahaja.

Fakta menarik tentang Jihin. - Infografik oleh Nasrul Shazli