Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah akan menyediakan skrin besar khas untuk menayangkan perlawanan final Piala FA 2019 yang akan menyaksikan Kedah menentang Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail berkata, tayangan itu dibuat bagi memeriahkan lagi program Temasya 'Oghang' Kedah yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Julai ini, di Dataran Sungai Korok di Jitra.

"Kebetulan final Piala FA akan berlangsung pada Sabtu iaitu malam terakhir temasya, jadi sambil kita bersantai-santai di dataran itu nanti, adalah lebih baik kita menyaksikan perlawanan bola sepak yang merupakan sukan kegemaran nombor satu rakyat negeri ini.

"Walaupun tidak mampu ke Stadium Bukit Jalil, kita masih boleh zahirkan sokongan dengan hadir beramai-beramai berpakaian serba hijau kuning ke Dataran Sungai Korok sebagai tanda sokongan kepada skuad Lang Merah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Kedah berjaya melangkah ke final Piala FA 2019 selepas terikat 3-3 dengan Felda United pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka 30 Jun lepas.

Kedah menang setelah mengambil kira kelebihan jaringan gol di tempat lawan.

Skuad Lang Merah, yang merupakan juara empat kali, bakal dicabar oleh juara dua kali, Perak yang menewaskan Pahang 4-3 secara agregat di Ipoh pada perlawanan separuh akhir kedua.

Kali terakhir Kedah merangkul kejuaraan Piala FA ialah pada 2017 selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA