Berita  | Sukan

Johor tekad rangkul gelaran juara keseluruhan Sukma 2020

Johor tekad rangkul gelaran juara keseluruhan Sukma 2020
OSMAN: Kita perlu bangkit dan memperbaiki carta kedudukan. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mahu setiap atlet bakal mewakili negeri ini pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 supaya mengekalkan momentum dan semangat juang tinggi bagi merangkul juara keseluruhan temasya sukan itu yang bakal dianjurkan pada 2020.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata kelebihan sebagai tuan rumah temasya sukan itu harus dimanfaatkan sepenuhnya atlet Johor dalam mencapai kejayaan.

"Kita perlu bangkit dan memperbaiki carta kedudukan untuk mendapatkan gelaran juara keseluruhan dengan mengatasi kuasa-kuasa besar temasya Sukma seperti Terengganu, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sarawak.

"Kerajaan negeri sedang dalam usaha memastikan segala persiapan berhubung infrastruktur sukan, pengurusan temasya dan perihal pegawai sukan diambil perhatian secara keseluruhan untuk memastikan Sukma 2020 menjadi temasya paling berprestij," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan insentif kemenangan atlet Sukma Johor 2018, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata aspek sains sukan perlu diberikan perhatian serius untuk memastikan prestasi atlet berada pada tahap terbaik seperti dititahkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada majlis ramah mesra bersama atlet Sukma Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata setiap perkara walaupun kecil akan diambil perhatian demi memastikan kejayaan atlet negeri ini.

Pada majlis berkenaan, kerajaan Johor memperuntukkan insentif RM360,250 kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada Sukma ke-19, sebagai pemangkin semangat mereka untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam mengharumkan nama Johor pada temasya akan datang.

Insentif tersebut diberikan kepada 21 daripada 29 acara sukan yang disertai kontinjen Johor pada Sukma di Perak, September lepas, termasuk dalam olahraga, akuatik, judo, menembak, angkat berat dan berbasikal.

"Bagi kategori individu (seorang-dua atlet), RM3,000 diberikan kepada setiap atlet yang memenangi pingat emas, RM2,000 untuk pingat perak dan RM1,500 bagi pingat gangsa. Bagi kategori berpasukan (tiga-lapan atlet), pemenang pingat emas menerima RM2,000, perak RM1,500 dan gangsa RM1,000," katanya.

Bagi kategori berpasukan pula, RM1,500 untuk pemenang pingat emas, RM1,000 pingat perak dan RM750 gangsa selain tambahan RM1,000 dan RM750 untuk atlet yang berjaya memecah rekod kebangsaan dan rekod kejohanan, katanya.

Pada Sukma ke-19, Johor berjaya meraih 29 pingat emas, 34 perak dan 37 gangsa, menyaksikan negeri itu berada di kedudukan kesembilan daripada 15 kontinjen yang bertanding pada temasya sukan berkenaan.

-- BERNAMA