Bekas pengendali Manchester United dan Chelsea, Jose Mourinho dinamakan sebagai pengurus baharu Tottenham Hotspur dengan kontrak berakhir sehingga musim 2022-23.

"Kami memperoleh Jose yang juga adalah salah seorang pengurus paling berjaya dalam bola sepak," kata Pengerusi Spurs, Daniel Levvy.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu memaklumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka.

Mourinho yang dipecat Manchester United pada Disember lalu mengisi kekosongan Mouricio Pochettino yang dipecat semalam.

Memetik Skysports, Mourinho berkata beliau amat teruja untuk menyertai kelab penuh kegemilangan itu.

"Saya amat teruja untuk menyertai kelab yang penuh bersejarah dan penyokong yang begitu setia. Kualiti pasukan dan akademi amat mengujakan saya. Bekerja dengan pemain ini yang menjadi daya tarikan buat saya," katanya seperti dilaporkan.

Perlawanan pertama yang bakal mendepaninya adalah di Stadium London pada Sabtu ini apabila Tottenham bakal menentang West Ham bagi Liga Perdana Inggeris.