PENGURUS sensasi, Jose Mourinho, semakin hampir untuk membimbing Manchester United pada musim depan selepas bersetuju dengan terma-terma peribadi dengan kelab Inggeris itu hari ini.

Menurut laporan Sky TV, United kini sudah bersedia untuk membawa beliau ke Old Trafford bagi menggantikan Louis Van Gaal yang dipecat Isnin lalu.

Jurulatih yang terkenal dengan gelaran 'The Special One', Mourinho, dipecat Chelsea pada Disember lalu, tujuh bulan selepas memenangi gelaran ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam penampilan kedua bersama kelab itu.

Selain kejayaan bersama kelab London itu, Mourinho, 53, turut sarat dengan trofi kejuaraan ketika bersama Porto, Inter Milan dan Real Madrid.

Mourinho yang dikenali sebagai seorang yang pragmatik, bagaimanapun bergantung kepada kekuatan pertahanan, kerja keras pemain tengah dan penyerang sehingga membuatkan dia berjaya bersama setiap pasukan yang dibimbingnya.

Bekas pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti, yang akan membimbing Bayern Munich musim depan, berkata Mourinho akan menjadi penampilan hebat di United yang hilang identitinya pada tahun lalu.

Van Gaal pula dipecat selepas United berjaya menjulang trofi Piala FA yang pertama dalam tempoh 12 tahun tetapi terlepas slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.