Jurulatih tempatan menjadi pilihan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen untuk melatih skuad nasional dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Menurutnya, beberapa nama sudah disenarai pendek kerana beliau mencari sekurang-kurangnya lima jurulatih untuk membantu skuad nasional dan remaja.

"Saya mencari jurulatih perseorangan dan beregu untuk skuad kebangsaan. Saya ada senarai panjang nama jurulatih.

"Tetapi ia bergantung kepada jurulatih itu sendiri...minat, komitmen dan sebagainya," kata Morten.

Frost berkata beliau juga sudah menemui bekas pemain beregu negara, Lee Wan Wah yang kini melatih pasangan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong.

"Dia (Wan Wah) adalah contoh terbaik seorang jurulatih yang mampu melakukan tugas dengan baik tetapi pada masa sama, terikat dengan tanggungjawab lain.

"Ia akan mengambil masa untuk mencari calon yang sesuai serta tidak terikat dengan komitmen lain," katanya.

Sejak kebelakangan ini, BAM kehilangan beberapa jurulatih termasuk yang terbaru, jurulatih tingkatan satu SSBJ, Zhou Yang.

Sebelum itu, jurulatih beregu campuran, Tan Kim Her meninggalkan BAM pada Julai lepas untuk menyertai Persatuan Badminton India selepas Rashid Sidek dan Rosman Razak memilih melatih pemain perseorangan dan beregu di kelab Sports Affairs, pada Jun lalu.

He Guo Quan, bekas jurulatih juara dunia lima kali, Lin Dan, meninggalkan BAM pada Mei lalu manakala empat jurulatih SSBJ, Zhou Kejian, Chong Kien Ling, Poh Chai Boon and Chin Tze Seong juga sudah angkat kaki pada Januari lepas.

"Kami kehilangan ramai jurulatih tetapi ia adalah normal dan sesuatu yang lumrah ketika anda mahu merombak sistem.

"Saya sudah berusaha berbincang dengan pengurusan BAM untuk memberi penekanan bagaimana dan bila kami boleh mengambil jurulatih baru.

"Kami akan cuba mendapatkan lima jurulatih itu sebelum 1 Januari," katanya.