SAHAM kelab bola sepak Itali, Juventus merosot 24 peratus selepas pasukan itu tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Menurut Bloomberg, jumlah kerugian pada saham yang dibuka pagi tadi adalah sebanyak AS$435 juta (RM1.8 bilion), selepas juara Itali tu kalah kepada kelab Belanda, Ajax dalam saingan suku akhir UCL, awal pagi Rabu.

Ajax pula berpeluang untuk meningkatkan pendapatan pasukan itu apabila sah akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$13.6 juta selepas berjaya mara ke separuh akhir.

Pendapatan mungkin meningkat kepada kepada AS$19 juta jika berjaya ke final.

Juventus yang dikuasai keluarga hartawan keluarga Agnelli, terpaksa menanggung kerugian besar walaupun membawa bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dengan bayaran lebih daripada £105 juta (RM567 juta) untuk membantu pasukan itu memenangi UCL.

Saham Juventus baharu menyaksikan peningkatan sebanyak 17 peratus pada 13 Mac, selepas Ronaldo menjaringkan hat-trick menentang Atletico Madrid, yang membayangkan pasukan itu bakal muncul juara UCL musim ni.