Tutup

Berita  | Sukan

Kaedah pemilihan pemain naturalisasi perlu diperhalusi

Kaedah pemilihan pemain naturalisasi perlu diperhalusi
SATHIANATHAN: Idea itu bagus tetapi siapakah yang akan bertanggungjawab dalam memilih pemain? - Gambar fail
BEKAS jurulatih negara, B. Sathianathan, menimbulkan persoalan cara pemilihan pemain naturalisasi tanpa menggunakan kepakaran individu boleh menggagalkan hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kualiti pemain naturalisasi menjadi penekanan utama Sathianathan.

Selain penglibatan Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, Sathianathan menegaskan kepakaran untuk menilai pemain luar tampak tidak seimbang.

Pemilihan pemain memerlukan kepakaran jurulatih semasa, jika hanya bersandarkan de Roo semata-mata, usaha ini nampak tempang dan hanya akan berakhir dengan pembaziran.
"Idea itu bagus tetapi siapakah yang akan bertanggungjawab dalam memilih pemain?

"Kalau boleh, orang di bahagian teknikal yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mengenal pasti pemain.
"Individu itu seharusnya seperti seseorang yang bertindak sebagai pencari bakat dan dia perlu tahu corak permainan yang mahu diterapkan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe. Itu aspek penting," jelasnya.

Tambah Sathianathan, FAM mahupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu bersedia dengan sebarang perubahan format bagi memastikan pemain naturalisasi yang diambil boleh bersaing dalam liga walaupun mereka masih dalam proses awal bagi misi nasional.

"Hasilnya tidak akan nampak dalam masa terdekat, sebaliknya untuk lima tahun akan datang.

"Tetapi bukan semua pemain muda yang diambil ini akan berjaya.

"Kita perlu berikan masa dan ruang untuk mereka menjadi pemain yang bagus.

"Mereka haruslah beraksi dalam Liga Perdana dan Liga Super secara kerap," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusof Mahadi, mengakui akan ada mekanisme terperinci yang akan dibuat bagi memastikan pemilihan pemain naturalisasi tidak sia-sia.

Dua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan Tan Cheng Hoe, antara individu penting yang akan berada dalam jawatankuasa pemilihan, namun secara keseluruhannya, Yusof menjelaskan ia memerlukan masa untuk dihebahkan.

"Jurulatihlah pihak yang akan menggunakan khidmat pemain-pemain ini.

"Mereka haruslah terbabit dalam mesyuarat nanti, termasuk jurulatih luar, misalnya Sathianathan.

"Soal mendapatkan sentuhan pemain naturalisasi, ia sudah mendapat kelulusan daripada Exco FAM, cuma mekanismenya belum dikenal pasti," katanya.

Dalam Mesyuarat Exco FAM di Pulau Pinang 30 Mac lalu, ahli badan gabungan bersetuju untuk meneruskan hasrat mencari pemain naturalisasi dan nama seperti Lee Tuck dan Gonzalo Cabrera antara yang disebut-sebut akan mengikut jejak Mohamadou Sumareh.





Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro