Malaysia meragui kaedah pengendalian sampel urin yang dikendalikan ke atas atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen sehingga menyebabkan beliau gagal ujian doping dan pingat emasnya ditarik balik.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketiadaan catatan tarikh pada sampel tersebut ketika ia dihantar ke makmal Institut Sains dan Teknologi Korea (KIST) dari Doping Control Command Centre (DCCC) menimbulkan tanda tanya.

Selain itu, katanya adalah 'amat pelik dan menimbulkan kesangsian' di mana sampel tersebut mengambil masa yang begitu lama iaitu 16 jam untuk dibawa dari DCCC ke KIST.

"Jelas ia tidak disimpan di venue dan tidak juga dihantar ke KIST dengan segera. Sekiranya penganjur mengemukakan alasan ia disimpan di peti sejuk, tiada sebarang rekod yang menyatakan sedemikian," kata Khairy.

Menurut beliau, sampel tersebut berserta empat sampel lain diambil pada pukul 5.06 petang (waktu Korea) 20 September lalu di venue acara wushu dan hanya dibawa keluar dari situ pada pukul 7.15 malam pada hari yang sama untuk dibawa ke DCCC.

"Dokumen chain of custody (CoC) seterusnya mencatatkan bahawa sampel itu tiba di DCCC pada pukul 11.10 pagi, dengan anggapan tarikh 21 September, memandangkan tiada tarikh dicatatkan pada sampel tersebut.

"Kemudiannya, sampel tersebut dibawa ke KIST dan tiba ke makmal institut berkenaan pada 1.29 petang, sekali lagi dengan anggapan tarikh 21 September, memandangkan tiada tarikh yang dicatatkan.

“Ketiadaan catatan tarikh ini menimbulkan tanda tanya serta keraguan terhadap kronologi perjalanan sampel berkenaan," jelasnya.

Menerusi satu kenyataan di Twitter, beliau turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan menarik balik pingat tersebut, serta tidak menolak kemungkinan bahawa proses pengendalian sampel itu telah dikompromi.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan bahawa Malaysia telah mengemukakan persoalan ini kepada panel disiplin Sukan Asia, termasuk menghantar surat kepada badan OCA Antidoping untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap proses CoC.

Menurut Khairy, dokumen CoC yang yang dikemukakan kepada panel juga secara jelas telah dipinda dan berbeza dengan butiran yang diterima secara rasmi oleh pihak kontinjen negara.

"Versi dokumen yang telah dipinda itu tidak pernah dikemukakan kepada pihak kontinjen negara dan ia adalah sesuatu yang di luar kelaziman, memandangkan kita berhak mendapat maklumat sepenuhnya tentang sampel berkenaan," jelasnya.

Katanya, Malaysia juga akan mengemukakan rayuan kepada pihak tertinggi (Jawatankuasa Ad Hoc Court of Arbitration in Sport-CAS di Incheon) untuk ditimbang tara demi hak dan kepentingan atlet tersebut.

"Dengan hal yang demikian, kita perlu mencabar keputusan Anti-Doping Rule Violation (ADRV) terhadap Cheau Xuen memandangkan terdapat kesangsian ke atas integriti proses CoC.

"Ini merupakan amanah serta tanggungjawab terhadap memastikan kepentingan dan maruah sukan negara terus terpelihara," tegasnya.

Tambah Khairy, Malaysia memandang serius tuduhan ke atas Cheau Xuen, serta komited dalam memastikan tiada atlet negara yang terlibat dalam penggunaan bahan terlarang bagi tujuan meningkatkan prestasi mereka.

Selain itu, proses CoC juga perlu dipantau supaya ia dilaksanakan dengan penuh integriti untuk menjamin setiap atlet mendapat layanan adil dan saksama.

Katanya lagi, ini juga adalah bagi memastikan bahawa tiada pertikaian ataupun kesangsian terhadap proses anti-doping berkenaan.

Sementara itu, salah seorang jurulatih wushu negara, Chai Fong Ying ketika dihubungi yakin terhadap anak didiknya dan berharap kemelut ini dapat segera ditangani.

"Saya harapkan berita yang baik dari pihak kementerian, dan saya menaruh kepercayaan kepada atlet-atlet kita," katanya kepada Astro AWANI.

OCA hari ini memutuskan untuk menarik balik pingat emas yang dimenangi Cheau Xuen setelah didapati gagal dalam ujian dadah.

Menurut kenyataan pihak penganjur, ujian terhadap sampel urin atlet tersebut yang dilakukan selepas pertandingan pada 20 Sept didapati mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam Senarai Larangan Agensi Anti Doping Sedunia (Wada).