INI merupakan kekalahan pertama Manchester United di bawah kendalian Ole Gunnar Solksjær selepas rekod cemerlang 10 kemenangan dan seri dua perlawanan liga.

Sememangnya keputusan di Stadium Emirates pada Ahad mengejutkan penyokong Red Devils khususnya, selepas bersorak girang pertengahan minggu lepas atas kejayaan menyingkirkan PSG dari saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Solksjær menyifatkan kekalahan 0-2 kepada Arsenal itu sebagai detik terburuk sejak mengambil alih United pada Disember tahun lepas.

“Kami kecewa dengan keputusan tetapi melihat kepada persembahan, anda tidak boleh kata ia perlawanan yang layak kami kalah. Kami mencipta lima peluang, dua percubaan terkena palang.

“Hari ini kami bermain perlahan pada 10-15 minit awal, tidak tajam dan gagal memanfaat peluang,” katanya kepada BBC Sports.

Rembatan 30 ela daripada Granit Xhaka mengelirukan De Gea untuk gol pertama The Gunners pada minit ke-12.

Tuan rumah kemudian memperoleh gol kedua daripada Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-69, apabila Fred didapati menjatuhkan Alexandre Lacazette dalam kawasan penalti sendiri.

Kekalahan menyebabkan United gagal memberi tekanan kepada Tottenham Hotspurs untuk terus mendaki tangga liga malah jatuh ke tangga kelima di belakang Arsenal dengan 58 mata.

“Kami telah menang perlawanan yang kami tidak layak memenanginya, dan hari ini kami kalah satu perlawanan yang tidak sepatutnya kami kalah,” ujarnya.

Begitupun, Solskjær berharap anak buahnya dapat bangkit untuk kembali ke rentak kemenangan berdepan Wolverhampton dalam saingan suku akhir Piala FA minggu depan.