Kami sudah memujuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini, namun baginda mempunyai komitmen dan kekangan sehingga mendorongnya meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), demikian tegas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Beliau menjelaskan, Tunku Ismail telah lama menyatakan hasrat itu dalam beberapa siri perbincangan sebelum ini namun barisan kepimpinan FAM mengesyorkan agar hasrat itu ditangguhkan.

Namun, katanya lagi, apa yang berlaku hari ini agak mengejutkan semua pihak.

“Kami di peringkat barisan kepimpinan FAM sememangnya terkejut apabila menerima surat peletakan jawatan baginda dan pengumuman yang dibuat.

"Satu mesyuarat akan diadakan minggu depan bagi membuat keputusan sama ada mahu menerima atau tidak peletakan jawatan baginda. Ya,memang kita sedia maklum hasrat itu sejak sekian lama dan menghormati keputusan baginda," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, walaupun baginda ada mencadangkan nama individu untuk menggantikannya namun keputusan untuk memilih presiden baharu hanya boleh dilakukan pada mesyuarat Kongres Pemilihan FAM yang dijadualkan pada Julai nanti.

BACA: TMJ sah letak jawatan Presiden FAM

Beliau mengakui, hasil perbincangan sebelum ini, sebahagian besar Exco lebih cenderung untuk menerima keputusan Tunku Ismail untuk melepaskan jawatan; berdasarkan keadaan semasa selain menghormati keputusan beliau.

“Saya akui kebanyakan Exco lebih cenderung untuk menerima peletakkan jawatan baginda berdasarkan cadangan baginda sendiri yang banyak kekangan,” Katanya lagi.