Tutup

Berita  | Sukan

Kasut tercabut daripada pedal rencat kayuhan Fatehah

Kasut tercabut daripada pedal rencat kayuhan Fatehah
Fatehah mengakui terpaksa melupakan kesakitan akibat daripada kecederaan yang dialami pada pergelangan tangan kirinya bagi memberi fokus terhadap tugasnya di trek. - Gambar fail
BRISBANE: Bukan kecederaan tetapi masalah kasut pula yang menjejaskan kayuhan pelumba negara Fatehah Mustapa dalam aksi di Sukan Komanwel 2018 hari ini.

Beliau berkata masalah kasut yang dihadapinya ketika melakukan kayuhan pada aksi tersebut sedikit sebanyak memberi kesan terhadap prestasinya sehingga gagal merekodkan catatan masa lebih baik.
Fatehah yang bergandingan dengan Farina Shawati Mohd Adnan sekadar berada di tempat kelima pusingan kelayakan dengan catatan masa 34.826 saat, sekali gus gagal mara ke aksi penentuan pingat acara pecut berpasukan wanita.

"Ya, saya akui kecewa dengan keputusan hari ini kerana kasut saya tercabut daripada pedal sehingga menyebabkan saya bergelut untuk melakukan kayuhan. Bagaimanapun, perkara sudah terjadi dan saya perlu terima dengan hati terbuka.
"Saya tidak mahu fikir banyak mengenai perkara itu sebab mahu fokus terhadap acara seterusnya. Saya harap mampu lakukan catatan masa lebih baik dan mara ke suku akhir," katanya ketika ditemui di Anna Meares Velodrome.

Ditanya mengenai kecederaan yang dialami pada pergelangan tangan kirinya, atlet berasal dari Terengganu itu mengakui terpaksa melupakan kesakitan tersebut bagi memberi fokus terhadap tugasnya di trek.

"Saya akui memang sakit tetapi saya tolak ke tepi kerana mahu berikan fokus terhadap prestasi saya di sini.

"Pakar fisioterapi juga banyak membantu saya dan semuanya berjalan lancar," katanya.

Fatehah akan meneruskan cabaran dalam acara pecut perseorangan wanita esok dan acara keirin wanita pada Ahad.

Sementara itu, Muhammad Irwandie Lakasek enggan terus dibelenggu kekecewaan ekoran gandingannya bersama Mohamad Afiq Huznie Othman, Muhamad Daniel Haikkal Edy Suhaidee dan Muhamad Nur Aiman Rosli gagal menyerlah dalam acara 4km kejar-mengejar berpasukan lelaki.

"Prestasi kami hari ini agak memuaskan walaupun gagal memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara tersebut.

"Selepas ini saya mahu memberi fokus terhadap acara kegemaran saya, 15 kilometer (km) scratch," katanya.

Muhammad Irwandie akan kembali beraksi pada 7 April ini.

-- BERNAMA