Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menilai semula keputusan pengguguran sukan taekwondo daripada senarai sukan teras, kata Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini, hari ini.

Katanya, satu sesi dialog akan diadakan dalam masa terdekat untuk menilai dan mengkaji semula isu membabitkan sukan itu.

"Saya mahu satu perbincangan dibuat untuk kita teliti semula bagi membantu memajukan taekwondo... jika sebelum ini wujud masalah dalaman, kita perlu cari penyelesaian bersama.

"Saya melihat sukan taekwondo mampu membawa negara ke hadapan malah ia mampu menyatukan rakyat yang berbilang bangsa dan wajar dicontohi sukan lain," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan saingan peringkat akhir Kejohanan Taekwondo Remaja ke-13 Nestle Koko Krunch 2018, di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pada kejohanan itu, 384 peserta mewakili 21 kelab bertanding merebut gelaran juara dan piala pusingan, Piala Tunku Imran.

Mengulas lanjut isu pengguguran itu, Syed Saddiq tidak menyatakan sama ada perbincangan itu akan melibatkan nasib dua sukan lain yang turut digugurkan iaitu angkat berat dan sepak takraw.

Disember lepas, KBS mengumumkan tiga sukan berkenaan digugurkan daripada senarai sukan teras, namun ia masih boleh dipertandingkan dalam Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA) di Perak, September ini.

Alasan pengguguran yang pertama kali dilakukan sejak 2007 itu disebabkan prestasi yang tidak memuaskan, masalah doping dan percakaran dalam persatuan.

Untuk rekod, ketika temasya KL2017 atlet sukan taekwondo meraih tiga emas menerusi Chew Wei Yan dan Yap Khim Wen masing-masing dalam acara Poomsaeindividu lelaki dan wanita manakala Rozaimi Rozali mengungguli acara Kyorugi, kategori Featherweight 68kg lelaki.

Malah atlet taekwondo, Elaine Teoh pernah beraksi pada dua pentas Sukan Olimpik iaitu Athens (2004) dan Beijing (2008). -- Bernama