Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menafikan dakwaan wujud kepincangan dam pemberian Tender Peralatan Gimnastik Untuk Sukan Sea 2017 seperti yang dilaporkan media.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, KBS berkata dakwaan itu tidak tepat.

Berikut adalah kenyataan media penuh KBS:

Merujuk kepada beberapa laporan media berhubung isu Tender Peralatan Gimnastik Untuk Sukan Sea 2017 yang dikatakan pincang, Kementerian Belia dan Sukan dengan ini menegaskan bahawa perkara ini adalah tidak tepat dan ingin menjelaskan situasi yang sebenar terhadap perkara ini.

Salah satu dari tanggungjawab Rukun Juang Sendirian Berhad (RJSB) yang telah dilantik sebagai kontraktor utama kepada Projek KL Sports City adalah untuk menguruskan tender pembekalan peralatan sukan untuk venue tersebut. Ini termasuklah peralatan gimnastik yang akan digunakan di venue, ini termasuklah bagi mengelolakan sukan gimnastik semasa Sukan SEA 2017 nanti.

Untuk tujuan itu, RJSB telah mula melaksanakan proses tender pembekalan ini pada 11 November 2016. Proses penilaian dilaksanakan sebaik penawaran tender tersebut ditutup dan syarikat yang berada di tangga teratas senarai pendek penilaian telah dikenalpasti.

Namun setelah itu, pada 6 Januari 2017, sebelum tender tersebut dianugerahkan kepada mana-mana syarikat, KBS telah dimaklumkan oleh RJSB bahawa syarikat tersebut mempunyai percanggahan kepentingan (conflict of interest) dalam perkara ini dan mencadangkan agar tender ini dibatalkan dan tender perolehan peralatan gimnastik ini dilaksanakan semula. Pembatalan dan perlaksanaan semula proses tender ini juga berpotensi memberikan penjimatan kepada kos projek dan Kerajaan. Oleh kerana itu, KBS telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan.

Memandangkan KBS juga telah mengambil keputusan agar proses perolehan untuk kesemua peralatan sukan bagi KL Sports City dilaksanakan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku pemilik venue tersebut bagi memastikan pelarasan dan kelancaran pembekalan, proses tender bagi pembekalan peralatan gimnastik ini juga akan dilaksanakan oleh PSM.