Sektor swasta dirayu untuk membantu ikon sukan permotoran negara Hafizh Syahrin Abdul Rahman untuk meneruskan aksinya di Moto2, musim hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, KBS ada menyalurkan dana kepada Hafizh melalui Litar Sepang Antarabangsa (SIC), namun menjangkakan ianya tidak akan mencukupi untuk menampung keperluan pelumba tersebut terutamanya dalam persediaan menghadapi musim baharu 2020.

"KBS dan SIC adakan perbincangan dan kita memang akan tampung peruntukan yang agak besar bagi penyertaan beliau, namun masih tidak cukup. Ia tidak boleh hanya kerajaan, sektor korporat juga perlu membantu.

"Saya pun sudah berkali-kali berjumpa dengan pihak Petronas, mereka ada sampaikan pendapat mereka, saya tetap perlu menghormati Petronas sebagai penaja terbesar kita dalam permotoran.

"Cuma sekarang saya tengah cari jalan terbaik untuk membina 'jambatan kukuh' di antara Petronas dan Hafizh. Kita tahu apa berlaku pada masa silam tetapi kita perlu bergerak ke hadapan," katanya.

Syed Saddiq berharap peminat sukan permotoran terus menyokong perjalanan karier Hafizh dalam Moto2 agar beliau lebih bersemangat untuk kembali ke saingan MotoGP.

Untuk rekod, Hafizh merupakan pelumba Malaysia pertama bersaing dalam kelas perdana MotoGP pada 2018, menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu, terpaksa bergelut pada musim ini selepas bertukar kepada jentera KTM, yang menyaksikan beliau gagal meraih keputusan memberansangkan.

Ekoran daripada itu, pasukan KTM Tech3 tidak meneruskan kontrak bersama Hafizh bagi musim depan, sehingga memaksa kembali beraksi dalam kelas Moto2, bersama pasukan Angel Neito Team.

Beliau juga bakal berdepan situasi lebih sukar, apabila bakal mengharungi tempoh semusim tahun depan tanpa dibayar gaji.

-- BERNAMA