WAKIL Twitter bersetuju untuk berjumpa dengan Manchester United dan badan anti-diskriminasi Britain, Kick It Out, dalam usaha rangkaian media sosial itu menyekat lebih banyak kecaman berbaur perkauman.

Menurut laporan agensi media asing, Pegawai Eksekutif United sedia bertemu dengan Twitter selepas pemain tengah dari Perancis, Paul Pogba, menjadi mangsa kecaman susulan kegagalan menjaringkan penalti ketika seri 1-1 dengan Wolverhampton, awal pagi Selasa.

"Kami sentiasa mengekalkan ruang dialog yang terbuka dan sihat dengan rakan kongsi kami, tetapi kami tahu kami perlu lakukan lebih lagi untuk melindungi pengguna kami," kata Twitter dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Tingkah laku rasis tidak ada tempat di platform kami dan kami mengutuknya sekeras-kerasnya.

"Dalam minggu-minggu akan datang, wakil Twitter akan bertemu dengan Manchester United, Kick It Out dan mana-mana pihak berkepentingan awam lain yang berminat untuk mendengar mengenai langkah proaktif yang diambil Twitter dalam menangani isu kecaman berbaur perkauman atas talian ke atas pemain bola sepak tertentu di UK," tambahnya.

Rakan sepasukan, Harry Maguire turut menggesa Twitter dan Instagram supaya mengambil langkah proaktif dalam menyekat kecaman sedemikian.

Turut mengulas, Pengurus Pasukan Bola Sepak Wanita England, Phil Neville, yang berkata, pemain bola sepak patut memboikot media sosial.

Pogba menjadi pemain bola sepak ketiga menjadi mangsa kecaman berbaur perkauman dalam tempoh seminggu kerana mensia siakan sepakan penalti.

Sebelum ini nasib sama menimpa penyerang Chelsea, Tammy Abraham dan pemain Pasukan Divisyen Dua, Yakou Meite dari Reading.

Menurut satu kajian oleh Kick It Out, ia menerima sejumlah 159 laporan berhubung diskriminasi melalui media sosial pada perlawanan musim lalu.