Berita  | Sukan

Kecederaan pemain tidak beri kebimbangan kepada Cheng Hoe

Kecederaan pemain tidak beri kebimbangan kepada Cheng Hoe
CHENG HOE: Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain negara supaya tidak leka dengan kemenangan mengejut 2-1 ke atas Thailand.
KUALA LUMPUR: Empat hari menjelang pertemuan dengan Indonesia pada aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 Nov ini, skuad Harimau Malaya berdepan krisis kecederaan dan penggantungan beberapa pemain.

Penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain pertahanan kanan, Matthew Davies sah terlepas aksi menentang Indonesia, selepas masing-masing mengutip dua kad kuning dalam dua perlawanan menentang Vietnam dan Thailand, manakala Muhammad Syahmi Safari pula mengalami masalah kecederaan pangkal paha, ketika menentang Thailand pada Khamis lepas.

Perkara berkenaan bagaimanapun tidak menggusarkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang masih percaya pemain sedia ada, mampu menggalas tugas terbaik sekiranya diturunkan beraksi berdepan Indonesia nanti.

"Barisan kejurulatihan ketika ini tidak fikirkan untuk dapatkan pemain gantian dalam masa terdekat, kerana kita tahu sekiranya saya panggil secara mengejut, saya risau ia akan memberi tekanan kepada pemain berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita, pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain negara supaya tidak leka dengan kemenangan mengejut 2-1 ke atas Thailand, baru-baru ini, dan sebaliknya berwaspada dengan Indonesia yang boleh diibaratkan sebagai singa terluka, susulan empat kekalahan berturut-turut yang dialami skuad Garuda dalam kempen kelayakan pada kali ini.

Beliau menjelaskan kehadiran beberapa pemain baharu di bawah pengendali sementara, Yeyen Tumena, selain perubahan pucuk pimpinan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), baru-baru ini semestinya menjadi pembakar semangat untuk pemain skuad Garuda, memburu kemenangan sulung dalam kempen kelayakan pada kali ini.

Untuk rekod, Indonesia tewas 2-3 kepada Malaysia, diaibkan dengan kekalahan 0-3 dan 0-5 kepada Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum kecundang 1-3 kepada pendahulu Kumpulan G, Vietnam di Hanoi, semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Syahmi sedia mempamerkan aksi terbaik sekiranya diberi peluang beraksi menentang Indonesia nanti, walaupun masih belum pulih daripada kecederaan pangkal paha yang dialaminya.

Penerima anugerah gol terbaik pada Malam Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu turut mengakui, bahagian sayap skuad Garuda merbahaya, berdasarkan persembahan yang dipamerkan dalam beberapa perlawanan pada kempen kelayakan.

"Kecederaan ini tidak serius dan Insya-Allah, ia akan pulih dalam masa terdekat, dan sekiranya saya diturunkan menentang Indonesia nanti, saya akan beri sehabis baik dan dapat beri impak positif kepada pasukan kebangsaan," jelas pemain berusia 21 tahun itu yang beraksi di posisi pertahanan kanan.

Malaysia berkongsi enam mata dengan UAE setelah mengutip enam mata daripada empat perlawanan, namun UAE berada di tangga ketiga Kumpulan G, menerusi perbezaan jaringan.

-- BERNAMA


Tag: harimau malaya, tan cheng hoe, skuad kebangsaan, pemain negara, bola sepak



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.