Berita  | Sukan

Kecederaan telinga tidak gugat semangat Aaliyah

Kecederaan telinga tidak gugat semangat Aaliyah
Atlet luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah ketika sidang media Kejohanan Dunia International Waterski and Wakeboard Federation (IWWF) Waterski 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kecederaan telinga tidak menghalang ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, untuk memberi saingan sengit dalam Kejohanan Ski Air Dunia 2019 Persekutuan Luncur Air & Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Pusat Sukan Air, Presint 6, di Putrajaya, esok.

Walaupun mengalami kecederaan ringan di telinga semasa latihan baru-baru ini, Aaliyah, 16, berkata beliau sangat teruja untuk membuat persembahan hebat di hadapan peminat tempatan pada kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung sehingga 18 Ogos ini.

"Pakar perubatan menasihatkan saya supaya berehat sekurang-kurang dua minggu tetapi saya amat teruja untuk menyertai kejohanan dunia ini yang akan diadakan tempat saya meluncur sejak kecil lagi," katanya pada sidang media prakejohanan, di sini hari ini.

Jurulatih kelahiran Perancis, Marian Malaquin, yang melatih skuad kebangsaan, menyatakan keyakinan bahawa anak buahnya itu akan memperagakan aksi yang cemerlang walaupun berdepan dengan cabaran daripada barisan peserta utama dunia.

Selain Aaliyah, Malaysia akan turut diwakili dua adik lelakinya, Aiden, 12, dan Adam, 10 serta Nadiah Nasir, 23 tahun.

Sejumlah 168 peserta dari 39 negara akan bersaing dalam tiga kategori -- slalom, tricks dan jump -- bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.

Pusingan awal bermula esok sehingga Jumaat ini manakala pusingan akhir pada Sabtu dan Ahad.

-- BERNAMA


Tag: Aaliyah Yoong Hanifah, IWWF, kecederaan telinga, ratu luncur air negara, Pusat Sukan Air, Nadiah Nasir, Marian Malaquin, tricks dan jump, Kejohanan Ski Air Dunia 2019



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.