Kegagalan mencapai sasaran 70 emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina merupakan satu keputusan yang harus diterima semua pihak, terutamanya persatuan sukan kebangsaan dan atlet itu sendiri.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memohon maaf kepada rakyat Malaysia susulan kegagalan berkenaan, sambil memaklumkan pengurusan kontinjen negara akan membuat bedah siasat bagi mencari punca atlet negara gagal mencapai misi 70 emas berkenaan.

Beliau mendakwa kegagalan tersebut berpunca daripada beberapa faktor, termasuk sikap terlaku yakin atlet dalam beberapa sukan seperti memanah, pelayaran dan tenpin boling memandangkan Malaysia hadir ke Filipina selaku juara bertahan.

Selain itu, faktor lain adalah mutu pengadilan yang boleh dipertikaikan dalam beberapa acara seperti acara 110 meter lari berpagar dan gimnastik berirama (apparatus riben) yang meragut peluang Rayzam Shah Wan Sofian dan Izzah Amzan untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

"Pelbagai masalah terpaksa dihadapi atas faktor lokasi, maka pengurusan kontinjen terpaksa dipecahkan kepada tiga kluster utama. Pengurusan temasya juga lemah dan tidak teratur menyebabkan banyak maklumat tidak diperoleh dan diselaraskan.

Pertukaran banyak jadual pertandingan dan penangguhan jadual penerbangan akibat Taufan Kammuri (yang melanda Filipina sebelum ini) menyebabkan tumpuan para atlet terjejas," kata Megat Zulkarnain pada sidang media prestasi atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019.

Sidang media berkenaan turut dihadiri timbalannya, Nurul Huda Abdullah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, di sini, pada Rabu.

Pada masa yang sama, Megat yang merupakan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, turut menyarankan agar Kementerian Belia dan Sukan dapat bekerjasama dengan pemegang kepentingan sukan kebangsaan untuk menyegerakan program persediaan atlet bagi menghadapi Sukan SEA 2021.

Ia susulan keputusan Majlis Olimpik Vietnam yang mengumumkan mereka bakal menyenaraikan antara 36 sehingga 40 jenis sukan pada edisi 2021 di Hanoi dari 21 Nov sehingga 2 Dis 2021.

Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan.

Kutipan 55 emas berkenaan tidak termasuk satu pingat emas yang sepatutnya diraih gimnas kebangsaan, Izzah Amzan dalam acara apparatus riben yang ditarik balik Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC).

Setakat 11 malam tadi , tuan rumah, Filipina muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2005 di Manila setelah mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 119 gangsa diikuti Vietnam (96-85-104), manakala Thailand menduduki tangga ketiga (92-102-122).

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai menyertai 52 daripada 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic.

Sukan SEA 2019 yang bermula sejak 24 Nov, bakal melabuhkan tirai dengan upacara penutupan rasmi di Stadium Olahraga New Clark City pada malam ini.

-- BERNAMA