MALAYSIA mengakhiri saingan Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 di tangga tercorot selepas tewas 2-1 kepada Lubnan di Stadium Camille Chamoun Sports City, malam tadi.

Seri 2-2 dengan Mongolia dalam aksi persahabatan 'A' di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu, menyaksikan Harimau Malaya dikritik kerana gagal meraih kemenangan berdepan pemain yang bertaraf semi profesional hingga memaksa pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe melepaskan khidmat 14 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT).

Lubnan mendahului perlawanan seawal minit ke-19 di Beirut, Hassan Maatouk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti menewaskan penjaga gol, Hafizul Khairul Nizam Jothy.

Walaupun menyedari perlawanan ini sekadar pelengkap jadual saingan kelayakan, Malaysia tetap berusaha melancarkan serangan ke arah kubu pertahanan Lubnan bagi mencari gol penyamaan, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil hingga tamat separuh masa.

Selepas menyerap asakan demi asakan Lubnan sejak perlawanan bersambung dalam babak kedua, Malaysia akhirnya menemui jaringan penyamaan selepas Syafiq Ahmad menanduk masuk hantaran Nazmi Faiz pada minit ke-72.

Gol penyamaan tersebut meningkatkan semangat Malaysia untuk memastikan mereka menamatkan perlawanan ini dengan satu mata tetapi Lubnan mahu memastikan tiga mata diraih melakukan serangan bertali arus.

Hilal El-Helwe muncul wira tuan rumah apabila menyumbat masuk gol pada minit ke-94 selepas Malaysia gagal mengeluarkan bola daripada kotak penalti.

Selepas enam perlawanan, Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B di tangga tercorot dengan satu mata, Lubnan muncul juara kumpulan dengan 14 mata diikuti Korea Utara dengan 11 mata. Hong Kong di tangga ketiga (5 mata).