Berita  | Sukan

Kemalangan 'rencah' dalam sukan permotoran

Kemalangan 'rencah' dalam sukan permotoran
Razlan menyifatkan sukan permotoran sebagai sukan 'kejam' tetapi menyeronokkan. - Gambar fail
SEPANG: Umum mengetahui sukan permotoran adalah sukan yang berisiko dan insiden kemalangan adalah 'rencah' dalam penganjuran sesuatu perlumbaan.

Merujuk kepada insiden membabitkan seorang pelumba meninggal dunia pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata ia adalah kemalangan dalam perlumbaan.

"Kemalangan itu tiada faktor lain, tidak ada kena mengena dengan litar. Pasukan perubatan SIC telah menjalankan tugas mereka dengan baik.

"Mereka (pasukan perubatan) turut menerima pujian daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan DORNA (pemegang hak penganjuran MotoGP)," katanya kepada media di Litar Sepang.

Razlan yang juga prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) menyifatkan sukan permotoran sebagai sukan 'kejam' tetapi menyeronokkan.

Pelumba Piala Bakat Asia Idemitsu (IATC), Afridza Munandar meninggal dunia dalam perlumbaan sokongan Grand Prix Motosikal Malaysia 2019 di Litar Sepang.

Insiden itu berlaku di Selekoh 10 pada Pusingan 1 dengan bendera merah dikibarkan sejurus kemalangan itu.

Pelumba berusia 20 tahun itu pada awalnya menerima rawatan perubatan di tepi trek perlumbaan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan helikopter.

Dalam perkembangan lain, satu kenyataan dikeluarkan oleh MotoGP pada Ahad, sebagai menghormati pemergian Afridza, penunggang Nombor 4, yang akan bersara dan tidak lagi berlumba dalam IATC.

BACA: Sepang ragut korban lagi, Al-Fatihah buat Afidza Munandar

Munandar menduduki dua kali tempat teratas podium pada 2019 dan beberapa kali menamatkan perlumbaan untuk tampil tempat ketiga keseluruhan.

Kini yang akan kekal nombornya sahaja, sinonim dengan pencapaiannya yang mengagumkan di IATC.

-- BERNAMA