HUJUNG minggu ini bakal menyaksikan kemunculan semula bintang UFC Conor McGregor selepas hampir 15 bulan menyepi dari sebarang pertarungan seni bela diri campuran (MMA).

Jaguh kontroversi dari Ireland itu disahkan akan bertarung pada 18 Januari ini (19 Jan di Malaysia) menentang petarung Amerika Syarikat, Donald Cerrone.

Pertarungan divisyen welterweight 'McGregor vs Cowboy' itu akan berlangsung dalam acara utama di UFC 246 di T-Mobile Arena, Las Vegas, Nevada.

McGregor, 31, sebelum ini lebih banyak beraksi dalam kelas lightweight (70.3 kg) dan featherweight (65.8 kg), namun kini dia beralih kepada kelas yang lebih berat iaitu 77.1 kg.

Bagaimanapun ini bukanlah pertama kali untuknya kerana pada tahun 2016 dahulu, McGregor pernah bertarung dengan Nate Diaz di mana dia tewas sekali dan menang sekali.

BACA: Sah! McGregor kembali beraksi Jan tahun depan menentang 'Cowboy' Cerrone

Menurut ketua jurulatih kemnya, John Kavanagh, ini merupakan keadaan fizikal terbaik untuk McGregor.

Bercakap kepada ESPN dalam temu bual bersama Ariel Helwani, Kavanagh mendedahkan dia amat bergembira dengan perkembangan di kem latihan McGregor.

"(Persediaan) beberapa bulan yang lepas amat baik. Buktinya anda akan saksikan Sabtu ini (Ahad di Malaysia)," katanya.

Tambahnya, berdasarkan latihan beberapa bulan ini, McGregor kelihatan hebat seperti sewaktu dia memenangi dua kejuaraan dunia pada 2016 lalu selepas menewaskan Eddie Alvarez.

Dalam pada itu, menerusi temu bual yang sama, McGregor berkata pertarungan ini bukanlah untuk wang semata-mata.

Sebaliknya, McGregor berkata ia didorong oleh semangatnya untuk bertanding dan menghiburkan peminat.

"Tiada had, tiada halangan. Anda boleh buat apa sahaja. Anda boleh pergi ke mana sahaja. Saya tahu apa yang mahu buat dan saya gembira dengan apa yang saya buat.

"Saya gembira lakukan semua ini dan saya akan teruskannya. Kini saya sedang berusaha keras dan saya berada dalam keadaan terbaik dalam hidup saya. Mental dan fizikal," katanya.

Sungguh pun begitu, McGregor mengakui dia bakal mendapat bayaran yang lumayan untuk perlawanan ini.

"Kita dapat tawaran yang baik. Saya sangat gembira. Saya yakin, bayarannya baik. Saya menjangkakan mungkin AS$80 juta (RM326 juta)," ujarnya.

"Ia akan menjadi malam yang baik. Saya akan bersinar pada 18 Januari nanti. Saya akan buat 'silap mata' di dalam (gelanggang) Octagon, seperti yang telah saya lakukan beberapa kali sebelum ini. Tetapi ini akan menjadi sesuatu yang istimewa," kata McGregor lagi.

Kali terakhir McGregor bertarung ialah dengan juara lightweight UFC dari Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018 dalam acara UFC 229, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Selepas perlawanan, timbul kekecohan yang menyebabkan McGregor dan Khabib didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.

Bagi Cerrone, 36, pula, kali terakhir dia bertarung ialah pada acara UFC Fight Night 158 di Vancouver, Kanada yang menyaksikan Cerrone ditundukkan oleh Justin Gaethje melalui keputusan knockout teknikal (TKO) pada minit 4:18 pusingan pertama.

McGregor kini mempunya rekod profesional 21-4, manakala mempunyai rekod 36-13.